Rabu, 16 March 2022 | 11:07pm

Mahkamah Tinggi Singapura tolak rayuan hukuman mati

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi Singapura hari ini, menolak permohonan tiga lelaki yang dijatuhkan hukuman mati, termasuk seorang rakyat Malaysia, Pausi Jefridin.

Sebelum ini, mahkamah pada 28 Februari lalu mendengar kes mereka yang mencabar keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan hukuman mati dan menangguhkan penghakiman.

"Mahkamah telah menolak permohonan Pausi, Roslan (Bakar) dan Rosman (Abdullah)," kata ketua penyelaras kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty, Zaid Malek kepada Bernama.

Roslan dan Rosman adalah warga Singapura.

"Mereka akan membuat rayuan. Ia perlu difailkan dalam tempoh sebulan," kata Zaid.

Roslan, 51, dan Pausi, 37, didakwa mengedar tidak kurang daripada 96.07g heroin pada 14 Jun 2008.

Kedua-duanya disabitkan bersalah pada 2010 dan pelaksanaan hukuman mati dijadual pada 16 Februari lalu.

Dua hari sebelum pelaksanaan hukuman, peguam kepada kedua-dua tertuduh memfailkan usul jenayah meminta Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan pada 2018 tetapi ditolak panel hakim selepas kes didengari pada hari berikutnya.

Peguam kemudian memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengisytiharkan hukuman mati itu tidak mengikut perlembagaan.

Ia turut ditolak Mahkamah Tinggi pada 16 Februari lalu tetapi penangguhan telah diberikan sementara menunggu proses rayuan.

Rayuan didengari panel hakim pada petang yang sama, turut menolak permohonan itu.

Dalam kedua-dua sabitan, peguam berhujah Roslan dan Pausi kurang upaya daripada segi intelek - tetapi ditolak Mahkamah Tinggi pada 2017 dan Mahkamah Rayuan pada 2018.

Pausi dan Roslan juga diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh Presiden republik itu, Halimah Yacob pada 17 Februari lalu.

Rosman turut disabitkan atas kesalahan berkaitan dadah pada 2011 dan sepatutnya dihukum mati pada 23 Februari lalu. – BERNAMA

Berita Harian X