Rabu, 16 March 2022 | 10:37pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Mahkamah Singapura tolak rayuan 3 tertuduh dihukum gantung

SINGAPURA: Mahkamah Singapura hari ini menolak rayuan tiga tertuduh dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan berkaitan dadah walaupun dikritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis hak asasi.

Warga Singapura, Roslan Bakar dan Pausi Jefridin dari Malaysia, ditahan pada 2008 kerana kesalahan mengedar dadah dan dijatuhi hukuman mati dua tahun kemudian.

Rayuan seorang lagi warga Singapura, Rosman Abdullah, turut ditolak di republik yang menguatkuasakan antara undang-undang anti narkotik yang paling ketat di dunia.

negara itu masih mengekalkan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan terbabit walaupun menerima tekanan hebat untuk menukar penghakiman.

Hakim Mahkamah Tinggi, Kannan Ramesh, ketika menolak rayuan itu, berkata tiada hujah baharu dikemukakan berbanding yang ditolak sebelum ini daripada ketiga-tiga tertuduh dan mendakwa tertuduh menyalah gunakan proses mahkamah.

"Dalam kes ini, niat utama yang sebenar ialah bagi melengahkan pelaksanaan hukuman gantung yang diputuskan dan penghakiman muktamad selepas proses mahkamah," katanya.

Aktivis hak asasi, M Ravi, yang membantu pasukan pembelaan mewakili ketiga-tiga tertuduh terbabit, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan satu lagi rayuan.

Pejabat hak asasi PBB mendesak Singapura menghentikan pelaksanaan hukuman gantung itu, yang tidak dilaksanakan sejak November 2019, dengan mengatakan hukuman mati bercanggah dengan undang-undang hak asasi antarabangsa.

Kumpulan hak asasi, Amnesty International, melabelkan hukuman itu sebagai 'menggerunkan' dan menggesa Singapura mengisytiharkan moratorium terhadap hukuman mati.

kumpulan hak asasi manusia Malaysia, Lawyers for Liberty, membangkitkan isu status Pausi sebagai individu lembam dengan kiraan IQ hanya 67.

Kesnya banyak persamaan dengan seorang lagi tertuduh warga Malaysia, yang dijatuhkan hukuman gantung, Nagaenthran K Dharmalingam, yang antara lain turut dikritik Kesatuan Eropah (EU).

Nagaenthran, yang berasal dari Perak, dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas disabit kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin ke Singapura pada 2009 dan dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu.

Bagaimanapun proses rayuan pada peringkat terakhir awal bulan ini menyaksikan Mahkamah Rayuan Singapura menetapkan pada satu tarikh yang belum dimuktamadkan untuk keputusan Nagaenthran.

Pihak pembelaan juga turut memohon Mahkamah Rayuan menggunakan kuasanya bagi membolehkan tertuduh menjalani penilaian oleh pakar psikiatri, yang mana pihak mahkamah belum membuat keputusan. - AFP

Berita Harian X