Rabu, 9 March 2022 | 11:08am
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto AFP
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto AFP

Kemboja minta sidang kemuncak ASEAN, AS ditangguhkan

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, meminta supaya sidang kemuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN ditangguhkan.

Menurutnya, AS sudah mengumumkan bahawa sidang itu dijadualkan pada 28 dan 29 Mac ini, tetapi Indonesia selaku pengantara, belum lagi menyelaraskan tarikh berkenaan dengan mana-mana negara anggota ASEAN lain.

Berucap di perasmian Hospital Persahabatan Kemboja-China di wilayah Tbong Khmum, Hun Sen berkata beberapa pemimpin ASEAN mahukan sidang itu diadakan pada 26 dan 27 Mac tetapi AS berkata tarikh itu tidak sesuai bagi pegawai mereka.

Tambahan pula, sekurang-kurangnya pemimpin tiga negara anggota ASEAN berkata mereka tidak dapat hadir sekiranya sidang itu diadakan pada tarikh berkenaan.

"Justeru, saya meminta supaya ia ditangguhkan kerana belum ada persetujuan mengenai jadualnya," katanya tanpa menyatakan bila ia akan diadakan.

Hun Sen juga berharap ASEAN serta AS akan dapat menetapkan satu tarikh yang sesuai dan sebagai pengerusi ASEAN, beliau bersedia pada bila-bila masa saja dalam bulan Mac ini.

Beliau juga berkata, oleh kerana pemimpin empat negara ASEAN akan melakukan lawatan ke Timur Tengah, sidang kemuncak Asean-China juga perlu ditangguhkan.

Tambahnya lagi, beliau tidak dapat meninggalkan Kemboja pada pertengahan Mei hingga Jun kerana akan sibuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya negeri pada 5 Jun. - AGENSI

Berita Harian X