Selasa, 1 March 2022 | 10:33pm
gambar menunjukkan lokasi tanah runtuh di lombong jed dekat Hpakant, Kachin di Myanmar. - Foto AFP
gambar menunjukkan lokasi tanah runtuh di lombong jed dekat Hpakant, Kachin di Myanmar. - Foto AFP

17 dikhuatiri maut akibat tanah runtuh di lombong jed Myanmar

YANGON: Sekurang-kurangnya 17 individu dikhuatiri maut selepas tanah runtuh memerangkap puluhan pekerja dalam sebuah lombong jed, menurut sumber dan media tempatan hari ini.

Tragedi itu berlaku petang semalam berhampiran bandar Hpakant di utara Kachin, wilayah sama berlakunya tanah runtuh pada 2020 yang meragut nyawa 300 pekerja dalam bencana lombong terburuk di negara itu.

Gambar di lokasi kejadian menunjukkan kesan selepas tanah runtuh itu, dengan tanah dan batu menyelubungi kawasan lurah berhampiran sebuah bukit.

Sumber memaklumkan, 17 mayat ditemui setakat ini dari lokasi kejadian, namun angka sebenar masih belum dapat disahkan.

Menurut sumber, pemilik lombong berkenaan, sebuah firma dikaitkan dengan tentera Myanmar, Yangon Technical and Trading Co, menghalang pasukan penyelamat memasuki kawasan berkenaan setakat ini.

Media tempatan dan sumber di kawasan itu berkata, 40 individu terperangkap dalam tanah runtuh berkenaan, yang berlaku sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan.

Puluhan individu maut setiap tahun di Myanmar akibat bekerja dalam industri perlombongan jed yang amat menguntungkan, namun tidak dikawal dengan baik.

Industri itu menggunakan pekerja migran yang dibayar gaji rendah, untuk mengeluarkan jed yang menjadi rebutan di China.

"Hak pekerja lombong jed tidak dilindungi undang-undang, dan apabila berlaku kematian akibat tanah runtuh, mereka hanya mendapat pampasan yang kecil," kata seorang aktivis alam sekitar tempatan yang enggan dinamakan. - AFP

Berita Harian X