Selasa, 1 March 2022 | 4:42pm
Gambar fail menunjukkan aktivis mengadakan perhimpunan secara aman sebelum menyerahkan memorandum kepada Parlimen pada November tahun lalu supaya mempertimbangkan semula hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam, kerana mengedar dadah. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan aktivis mengadakan perhimpunan secara aman sebelum menyerahkan memorandum kepada Parlimen pada November tahun lalu supaya mempertimbangkan semula hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam, kerana mengedar dadah. - Foto AFP

Mahkamah Singapura tangguh keputusan hukuman mati warga Malaysia

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menetapkan pada satu tarikh yang belum dimuktamadkan untuk keputusan kes warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam.

Dia membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya, yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah.

Rayuan itu bagi keputusan pada November tahun lalu, di mana Mahkamah Tinggi tidak membenarkan Nagaenthran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar sabitan kesalahan mengedar dadah terhadapnya.

Prosiding hari ini berlangsung di hadapan lima panel membabitkan Hakim Besar Sundaresh Menon bersama Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

"Kami akan menangguhkan keputusan dan memaklumkan kepada kamu kemudian," kata Menon.

Selain rayuan itu, Nagaenthran, yang diwakili peguam Violet Netto, turut memohon mahkamah menggunakan kuasanya bagi membolehkan dia menjalani penilaian oleh pakar psikiatri.

"Hakim memaklumkan akan mengeluarkan keputusan tidak lama lagi, tapi tiada tarikh diberikan. Saya rasa keputusannya bukan hari ini," kata Pendakwa Raya Wong Woon Kwong, ketika ditanya jangkaan tarikh keputusan itu dimaklumkan.

Nagaenthran yang berasal dari Perak, dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas disabit kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin ke Singapura pada 2009z

Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu ditolak pada 2011.

Nagaenthran kemudian memohon untuk mengubah hukuman itu kepada penjara seumur hidup pada 2015, selepas undang-undang di Singapura dipinda bagi membenarkan pelaksanaan hukuman alternatif, selain hukuman mati.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Singapura mengekalkan hukuman itu pada 2017, selepas mengambil kira bukti daripada empat pakar psikiatri dan psikologi.

Proses rayuan itu kemudian berpanjangan sehingga ke peringkat akhir dan permohonannya untuk mendapatkan pengampunan presiden ditolak pada 1 Jun 2020.

Kes Nagaenthran mendapat perhatian antarabangsa selepas memohon hukuman dikurangkan atas alasan dia adalah berstatus IQ rendah atau lembam.

Pada 7 November tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan menghantar perutusan kepada rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong, untuk mempertimbangkan kes itu.

Pada 3 Disember tahun lalu, Presiden Singapura, Halimah Yacob dilaporkan berkata Nagaenthran sudah menerima proses sewajarnya mengikut undang-undang.

Pada 16 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan interim bagi hukuman mati ke atas seorang lagi warga Malaysia dari Sabah yang lembam, Pausi Jefridin, juga bagi kesalahan mengedar dadah. - BERNAMA

Berita Harian X