Jumaat, 25 Februari 2022 | 4:09pm
Seorang budak lelaki menjalani pemeriksaan sebelum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun di Banda Aceh, Indonesia. - Foto EPA
Seorang budak lelaki menjalani pemeriksaan sebelum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun di Banda Aceh, Indonesia. - Foto EPA

Indonesia pertimbang dos keempat vaksin COVID-19

JAKARTA: Indonesia bersedia untuk mempertimbangkan pelaksanaan suntikan dos keempat vaksin COVID-19 sekiranya diperlukan dan mendapat sambutan daripada masyarakat.

CNN Indonesia melaporkan, perkara itu bagaimanapun perlu diteliti secara menyeluruh dan masih menunggu kajian daripada pakar kesihatan mengenai keperluan dos keempat.

Jurucakap Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono, berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk melengkapkan program vaksinasi terdahulu bagi membentuk kekebalan kelompok yang meluas.

"Kita akan meneliti sama ada perlu atau tidak suntikan dos keempat vaksin COVID-19 berdasarkan pandangan dan nasihat pakar kesihatan.

"Jika diperlukan, Indonesia bersedia untuk melaksanakannya demi perlindungan rakyat daripada ancaman coronavirus," katanya.

Tambah Dante, pemberian dos penggalak bertujuan memberi perlindungan lebih menyeluruh selepas kadar perlindungan vaksinasi lengkap berkurangan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan suntikan vaksinasi lengkap termasuk dos penggalak.

"Berdasarkan data terkini, antibodi penerima akan bertambah 16 peratus menerusi dos pertama, kemudian bertambah 67 peratus pada dos kedua dan meningkat 97 peratus melalui dos penggalak.

"Dos penggalak juga dapat mengurangkan kematian sehingga 91 peratus akibat jangkitan COVID-19," katanya.

Ketika ini, kes jangkitan COVID-19 di Indonesia direkodkan meningkat akibat penularan varian Omicron, dengan 5,408,328 jangkitan termasuk 47,342 kematian setakat ini. - AGENSI

Berita Harian X