Jumaat, 18 Februari 2022 | 1:02pm
Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn, mengadakan sidang akhbar selepas Pemukiman Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMMR). - Foto AFP
Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn, mengadakan sidang akhbar selepas Pemukiman Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMMR). - Foto AFP

Menteri Luar ASEAN sepakat mahu jayakan RCEP

HANOI: Menteri-menteri Luar ASEAN menegaskan semula komitmen mereka untuk memastikan pelaksanaan penuh dan berkesan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Kesepakatan itu dicapai semasa Pemukiman Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMMR) yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pemukiman itu diadakan secara bersemuka dan dalam talian dari 16 hingga 17 Februari.

Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn, semasa sidang akhbar selepas AMMR semalam, berkata menteri mengulangi kepentingan memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN dan perdagangan intra-blok.

Ia turut merangkumi kesinambungan pelaburan dan rantaian bekalan untuk meningkatkan daya saing, hubungan dan daya tahan serantau, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025.

Sokhonn berkata RCEP berkuat kuasa pada Januari dan Menteri Luar ASEAN digalak mengesahkan komitmen mereka untuk melaksanakan perjanjian itu sepenuhnya dan berkesan.

Komitmen sedemikian penting untuk meningkatkan daya tarikan ASEAN dalam perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan global, tambah VNA.

RCEP ditandatangani oleh 10 anggota ASEAN dan lima rakan kongsinya, China, Jepun, Australia, New Zealand dan Republik Korea pada November 2020.

Dengan pasaran kira-kira 2.3 bilion orang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada penduduk global, RCEP dianggap sebagai perjanjian perdagangan bebas terbesar semasa di dunia.

Negara-negara RCEP juga membentuk 33.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 30 peratus daripada perdagangan global.

Selari dengan RCEP, menteri turut membincangkan langkah untuk mengukuhkan pemulihan ekonomi pasca-pandemik rantau ini.

Mereka juga membincangkan operasi Dana Respons COVID-19 ASEAN dan menekan bahawa pelaksanaan Koridor Perjalanan ASEAN yang tepat pada masanya.

Ia diyakini akan mewujudkan keadaan yang menggalakkan untuk aktiviti rentas sempadan dan peningkatan pertukaran ekonomi di kalangan negara anggota.

Menurut VNA, Sokhonn juga menambah bahawa menteri berkongsi pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

Mereka juga menekankan komitmen bersama terhadap mekanisme pelbagai hala yang terbuka dan komprehensif berdasarkan undang-undang untuk menggalakkan keamanan dan kestabilan mampan di dalam serta luar rantau ini.

Bagi mencapai matlamat itu, menteri bersetuju mengenai keperluan untuk mengukuhkan peranan utama dan perpaduan gagasan itu dalam komitmen dengan rakan kongsi luar.

Kata Sokhonn, ia dapat dicapai melalui mekanisme yang diterajui ASEAN untuk membina kepercayaan bersama dan membina acuan serantau dengan ASEAN memainkan peranan utama. - BERNAMA

Berita Harian X