Jumaat, 18 Februari 2022 | 8:32am
Seorang pelajar menerima suntikan vaksin COVID-19 di Banda Aceh, Indonesia. - Foto AFP
Seorang pelajar menerima suntikan vaksin COVID-19 di Banda Aceh, Indonesia. - Foto AFP

Kes COVID-19 Indonesia melepasi 5 juta jangkitan

JAKARTA: Indonesia kini mencatatkan lebih lima juta kes COVID-19 sejak Mac 2020, apabila jangkitan meningkat dengan ketara sejak beberapa minggu lalu didorong oleh varian Omicron.

Negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu melaporkan 63,956 lagi kes semalam, menjadikan jumlah kes yang disahkan kepada 5,030,002 jangkitan.

Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan 206 kematian lagi dalam 24 jam terakhir, menjadikan jumlah kematian 145,822 mangsa, ketika gelombang ketiga pandemik itu melanda ke seluruh negara.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) menggesa semua pihak bekerja keras untuk memberi vaksin sepenuhnya kepada 208.2 juta penduduk negara itu bagi mencapai imuniti kelompok.

Bercakap dalam sidang video dengan ketua wilayah dan pegawai keselamatan dari 12 wilayah di Istana Presiden Bogor semalam, beliau berkata vaksinasi adalah bahagian penting untuk mengawal pandemik itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa program vaksinasi dipercepatkan kepada warga emas dan kanak-kanak.

Setakat ini, lebih 189.06 juta orang sudah menerima dos pertama mereka dan lebih 138.28 juta mengambil dos kedua vaksin.

Sementara itu, jangkitan global coronavirus setakat ini ialah 419,890,900 kes dengan 5,878,817 kematian dilaporkan di 223 negara dan wilayah. - BERNAMA

Berita Harian X