Sabtu, 5 Februari 2022 | 10:28am
Jumlah kes jangkitan COVID-19 meningkat di Singapura. FOTO AFP
Jumlah kes jangkitan COVID-19 meningkat di Singapura. FOTO AFP

Singapura rekod 13,208 kes jangkitan baharu COVID-19

SINGAPURA: Sebanyak 13,208 kes baharu COVID-19 direkodkan di negara ini semalam, peningkatan tiga kali ganda daripada jumlah dilaporkan sehari sebelumnya.

Kementerian Kesihatan (MOH) turut melaporkan enam kematian semalam berdasarkan data disiarkan di laman webnya.

Sepanjang 28 hari lalu, data menunjukkan 85,357 orang dijangkiti COVID-19 dengan 99.7 peratus tidak mempunyai gejala atau ringan.

Daripada jumlah itu, 0.3 peratus memerlukan oksigen dan alat bantuan pernafasan serta 0.04 peratus di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kadar jangkitan mingguan mencecah 1.39 semalam, meningkat daripada 1.23 yang dilaporkan pada Khamis.

Jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 di Singapura kini berjumlah 379,681, dengan 866 kematian.

Sehingga 3 Februari lalu, 89 peratus penduduknya melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dan 59 peratus menerima suntikan penggalak. – BERNAMA

Berita Harian X