Rabu, 2 Februari 2022 | 5:00pm
Gambar hiasan. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Gambar hiasan. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Masjid Singapura mula laksana langkah pengurusan selamat COVID-19

SINGAPURA: Masjid di republik ini mula melaksanakan langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) bagi semua khidmat ibadah berjemaah mulai semalam.

Ini bermakna hanya jemaah yang sudah divaksinasi penuh boleh menyertai ibadah berjemaah, sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat berjemaah.

Jemaah masih boleh menunaikan ibadah individu di luar waktu solat berjemaah, tidak kira status vaksinasi mereka

Tinjauan Berita Harian Singapura pada hari pertama VDS di Masjid Alkaff Kampong Melayu di Bedok Reservoir menunjukkan pelaksanaan itu rata-ratanya berjalan lancar.

Ini berikutan kebanyakan jemaah sudah pun mempunyai status vaksinasi penuh, kata pengurus masjid terbabit, Ustaz Mohammad Taufiq Mohamed Ismail.

"Sekitar 120 jemaah hadir bagi solat waktu Subuh, dan sekitar 80 yang hadir bagi waktu Zuhur. Tiada jemaah tidak divaksin yang hadir pada waktu solat berkenaan.

"Di Masjid Alkaff, hampir kesemua jemaah di kawasan ini sudah divaksinasi penuh.

"Namun, sekiranya ada jemaah (belum divaksin) yang datang khususnya pada waktu-waktu akan datang ini, kami akan nasihatkan dengan cara terbaik dan kami juga akan sediakan ruang khusus bagi mereka," katanya.

Masjid itu menyediakan ruang solat dan tempat wuduk berasingan bagi jemaah yang tidak divaksinasi, di mana mereka boleh melakukan solat secara bersendirian di luar waktu solat jemaah.

Paling banyak, masjid itu menerima sekitar lima jemaah yang tidak divaksin dalam satu hari dan ada kalanya juga tiada jemaah langsung yang belum divaksinasi, kata Ustaz Taufiq.

Seorang jemaah yang menunaikan solat zuhur di Masjid Alkaff semalam, Mohd Akbar Hashim, 60, mendapati proses memasuki masjid kali ini mudah seperti hari-hari lain.

"Saya rasa langkah (VDS) ini baik untuk semua orang yang datang masjid. Kalau boleh kita nak jauhkan daripada penyakit, kalau dah kena, susah pula. Macam sebelum ini, kita tak boleh datang masjid," katanya.

Seorang lagi jemaah, Suhaimi Samsudin, akur ada jemaah yang mungkin tidak boleh divaksinasi atas pelbagai sebab, termasuk mereka yang mempunyai alahan atau warga emas yang tidak kuat untuk ambil vaksin.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelaskan sebelum ini mereka yang tidak dapat divaksinasi atas sebab perubatan, mereka yang pulih daripada COVID-19, serta kanak-kanak bawah usia 12 tahun, dikecualikan daripada peraturan VDS itu.

Bagi pelaksanaan VDS bermula semalam, MUIS berkata ia secara bertahap sudah bersiap sedia bagi melakukannya secara penuh sejak dua bulan lalu.

"Alhamdulillah, pelaksanaan di kesemua 66 masjid yang menawarkan solat berjemaah berjalan dengan lancar sejauh ini, dengan kebanyakan jemaah divaksinasi sepenuhnya.

"MUIS akan terus memantau keadaan yang sentiasa berubah dan kekal komited memastikan masyarakat boleh menyambung kegiatan lain di masjid kita secara berhati-hati," kata MUIS.

Langkah VDS turut mula dilaksanakan bagi solat Jumaat minggu ini pada 4 Februari.

Oleh itu, hanya individu yang sudah divaksinasi sepenuhnya boleh menempah slot di kesemua 66 masjid, sejajar dengan langkah VDS.

Pada 31 Januari lalu, MUIS berkata lebih banyak ruang akan disediakan bagi solat Jumaat di masjid sekitar Singapura bermula Jumaat ini.

Sabtu lalu, Pejabat Mufti mengeluarkan irsyad (panduan) terkini mengenai solat berjemaah di masjid, termasuk keringanan atau rukhsah untuk tidak menunaikan solat Jumaat bagi dua golongan.

MUIS berkata meskipun hukum solat Jumaat kekal wajib, keringanan untuk tidak menunaikan solat Jumaat masih wujud bagi dua golongan berdasarkan perkembangan terkini keadaan pandemik COVID-19.

Dua golongan itu adalah mereka yang sudah lengkap divaksin namun tidak berjaya menempah slot untuk menunaikan solat Jumaat disebabkan keterbatasan ruang.

Satu lagi golongan ialah individu tidak layak menerima vaksin atas sebab-sebab kesihatan, yang tergolong dalam kumpulan individu uzur kerana sakit.

Mereka yang belum divaksin disebabkan masalah kesihatan perlu menggantikan solat Jumaat berjemaah dengan solat zuhur demi keselamatan mereka dan juga jemaah lain.

Ini kerana kehadiran mereka di perhimpunan besar akan menimbulkan risiko kemudaratan kepada diri mereka dan orang lain, menurut irsyad Pejabat Mufti itu.

Selain golongan berkenaan, MUIS secara amnya menggesa umat Islam untuk berusaha mengambil langkah wajar bagi menunaikan solat Jumaat.

Ini termasuk memastikan status vaksinasi lengkap yang membolehkan mereka menunaikan solat jemaah di masjid dengan selamat dan mendaftar diri setiap Jumaat bagi mendapatkan ruang solat. - AGENSI

Berita Harian X