Jumaat, 28 Januari 2022 | 6:56pm
Pengunjung berehat di sepanjang White Beach di Pulau Boracay, Filipina, yang mana sektor pelancongannya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - Foto REUTERS
Pengunjung berehat di sepanjang White Beach di Pulau Boracay, Filipina, yang mana sektor pelancongannya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - Foto REUTERS

Filipina buka pintu kepada pelancong lengkap divaksin

MANILA: Filipina akan membuka pintunya kepada warga asing yang lengkap divaksin dari negara dan wilayah dengan kemasukan bebas visa ke Filipina mulai 10 Februari, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa.

Setiausaha Kabinet, Karlo Nograles, berkata warga asing yang mengembara untuk tujuan perniagaan dan pelancongan mesti mengemukakan sijil vaksinasi serta pasport yang sah untuk sekurang-kurangnya enam bulan pada masa ketibaan.

Individu yang berumur bawah 18 tahun dikecualikan daripada langkah itu, tambahnya.

Setiausaha Pelancongan, Berna Romulo-Puyat, berkata keputusan membenarkan pelancong melawat negara itu dapat bantu merancakkan semula ekonomi.

"Ini akan menyumbang kepada pemulihan pekerjaan, terutama dalam masyarakat yang bergantung kepada pelancongan dan pembukaan semula perniagaan yang ditutup disebabkan pandemik," katanya.

Dengan membuka semula negara itu kepada pelancong antarabangsa, Puyat berharap Filipina dapat bersaing dengan negara jiran Asia Tenggara yang sudah pun membuka sempadannya.

"Memandangkan virus itu tidak dapat dijangka, kami akan memantau keadaan dengan teliti dan memastikan protokol kesihatan serta keselamatan dilaksanakan dengan ketat oleh semua pertubuhan pelancongan," katanya.

Sementara itu, Filipina akan menangguhkan sementara klasifikasi risiko COVID-19 untuk pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya mulai 1 Februari ini.

Semua pengembara yang memasuki negara itu mesti menunjukkan ujian RT-PCR negatif yang dilakukan 48 jam sebelum berlepas.

Pengembara tidak lagi perlu menjalani kuarantin di pusat kemudahan tetapi memantau diri mereka di rumah selama tujuh hari.

Filipina kini mempunyai hampir 3.5 juta kes COVID-19 yang disahkan, termasuk sekurang-kurangnya 53,736 kematian. – BERNAMA

Berita Harian X