Ahad, 16 Januari 2022 | 6:36pm
Orang ramai menunggu untuk membeli kit ujian pantas COVID-19 di Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) di Bangkok, Thailand susulan ancaman gelombang baharo coronavirus terutama varian Omicron. - Foto EPA
Orang ramai menunggu untuk membeli kit ujian pantas COVID-19 di Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) di Bangkok, Thailand susulan ancaman gelombang baharo coronavirus terutama varian Omicron. - Foto EPA

Sebarang protes di Thailand tetap langgar larangan COVID-19

BANGKOK: Polis Metropolitan mengeluarkan amaran segala perhimpunan awam masih dilarang di Thailand bawah sekatan COVID-19 termasuk protes pro demokrasi menyokong aktivis yang dipenjarakan.

Penyokong protes anti-pemerintah diketuai golongan belia berkumpul di luar Mahkamah Agung dan Penjara Reman Bangkok, tempat Arnon Nampa dan pemimpin protes lain ditahan atas tuduhan serius termasuk menghina pemerintah serta hasutan.

Jurucakap yang juga Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Jirasan Kaewsangek, berkata biarpun Bangkok yang juga wilayah pelancongan diletak di bawah sekatan lebih longgar, protes atau perhimpunan masih menyalahi undang-undang.

Beliau memetik arahan kecemasan, garis panduan anti-COVID-19 dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit, yang kesemuanya masih berkuatkuasa.

Jirapan berkata, polis bersedia dengan segala kelengkapan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman di bandaraya itu, sambil memaklumkan tiada penunjuk perasaan berunsur militan atau membawa elemen keganasan di bandar itu.

Tambah beliau, pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap 814 kes berkaitan tunjuk perasaan sejak Julai 2020 dan daripada jumlah itu, 409 kes sudah dibawa ke mahkamah sementara selebihnya masih dalam siasatan polis.

Kes COVID-19 kembali meningkat di Thailand selepas Kementerian Kesihatan Awam semalam melaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, terdapat 7,793 individu disahkan positif COVID-19, 270 daripadanya tiba dari luar negara.

Thailand menduduki tempat ke-26 dalam senarai kes tertinggi global, yang didahului , Amerika Syarikat (AS) dengan 66.16 juta kes, diikuti India (36.85 juta kes), Brazil (22.93 juta kes), United Kingdom (15.07 juta kes) dan Perancis, 13.57 juta kes. - AGENSI

Berita Harian X