Rabu, 12 Januari 2022 | 11:44am

Budak 5 tahun maut, 6 cedera letupan bom dalam bas

COTABATO: Seorang kanak-kanak maut, manakala enam lagi cedera selepas bom meletup dalam sebuah bas awam di selatan Filipina yang dikuasai pemberontakan, kata pihak berkuasa.

Sehingga kini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab dalam insiden itu.

Polis berkata, letupan berlaku ketika bas berkenaan melalui lebuh raya berhampiran Cotabato City di Pulau Mindanao, tempat perlindungan bagi beberapa kumpulan bersenjata, termasuk pemberontak komunis hingga militan.

"Bom itu dipercayai diletakkan di dalam bas di bahagian belakang, tempat ramai penumpang duduk.

"Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, manakala enam lagi cedera dalam letupan yang memecahkan tingkap belakang bas," kata Ketua Polis Bandar Aleosan, Sarja Randy Hampac.

Mangsa yang cedera termasuk seorang bayi berusia lima bulan dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Laporan polis menyatakan, seorang daripada mangsa melihat seorang penumpang lelaki meninggalkan 'bagasi' di dalam bas apabila dia turun dan kemudiannya meletup.

"Ia adalah kejadian pertama berlaku di bandar ini.

"Terdapat insiden pengeboman menara telekomunikasi pada tahun sebelumnya, tetapi insiden letupan dalam bas ini adalah kali pertama," kata Hampac.

Jurucakap tentera wilayah, Leftenan Kolonel John Baldomar berkata, tiada kumpulan yang mengaku melakukan 'serangan tidak disangka' itu.

Serangan militan ke atas bas, gereja katolik dan pasar awam adalah perkara biasa di wilayah yang bergolak itu sejak beberapa dekad di rantau ini. - AFP

Berita Harian X