Rabu, 12 Januari 2022 | 8:00am
Petugas kesihatan berjalan melalui pasar ketika menjalankan ujian COVID-19 secara besar-besaran di Jakarta, Indonesia. Vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma untuk semua rakyat negara itu. - Foto AP
Petugas kesihatan berjalan melalui pasar ketika menjalankan ujian COVID-19 secara besar-besaran di Jakarta, Indonesia. Vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma untuk semua rakyat negara itu. - Foto AP

Indonesia beri dos penggalak secara percuma

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan dos penggalak COVID-19 akan diberikan secara percuma untuk semua rakyat negara itu.

Indonesia sebelum ini menyasarkan vaksinasi bagi 208.2 juta penduduknya dan akan menawarkan suntikan dos penggalak berbayar mulai tahun ini.

Walaupun dos awal vaksin COVID-19 ditanggung oleh kerajaan, pegawai dan pihak kerajaan sebelum ini berulang kali mencadangkan suntikan dos penggalak hanya diberi percuma kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang tidak mempunyai wang untuk membayar.

Widodo dalam kenyataannya Selasa lalu, menegaskan program dos penggalak adalah 'usaha penting untuk meningkatkan imuniti rakyat memandangkan virus COVID-19 terus bermutasi.

"Dengan itu, saya memutuskan pemberian dos ketiga (penggalak) adalah percuma untuk semua rakyat Indonesia. Ini kerana, keselamatan rakyat keutamaan kita.

"Program yang bermula semalam (kelmarin) memberi keutamaan kepada golongan warga emas dan kumpulan rentan," katanya.

Rakyat Indonesia yang menerima suntikan vaksin kedua mereka sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan lalu layak untuk menerima dos ketiga.

Lebih 116 juta orang di negara Asia Tenggara sudah menerima vaksinasi lengkap daripada sasaran ditetapkan seramai 208 juta orang.

Isnin lalu, Agensi Kawal Selia Makanan dan Ubat-Ubatan Negara (BPOM) memberi kelulusan bagi penggunaan kecemasan lima vaksin COVID-19 untuk suntikan dos penggalak iaitu Sinovac, Zifivax, Vaxzevria, Spikeevax dan Comirnaty. - AGENSI

Berita Harian X