Isnin, 10 Januari 2022 | 9:21pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

555 korban COVID-19 Singapura tahun lalu tidak divaksin sepenuhnya

SINGAPURA: Hampir 70 peratus atau 555 daripada 802 mangsa COVID-19 yang maut di sini pada 2021 tidak divaksin sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, hari ini menekankan bahawa kumpulan berkenaan juga adalah mangsa 'paling terdedah' untuk sakit teruk apabila dijangkiti.

"Walaupun golongan yang tidak divaksin ini membentuk sebahagian kecil penduduk, mereka menyumbang kepada 70 peratus kematian itu manakala baki 247 mangsa yang terkorban disuntik dengan pelbagai jenis vaksin," katanya di Parlimen.

Kadar kematian berbeza berdasarkan status vaksinasi mereka iaitu nisbah 79 kematian dalam setiap 100,000 orang (79:1,000) bagi mereka yang tidak divaksin sepenuhnya.

Selain itu, 11:100,000 kadar kematian direkodkan bagi mereka yang disuntik dengan vaksin Sinovac dan 7.8:100,000 bagi mereka yang menerima vaksin Sinopharm.

Dalam kalangan penerima vaksin mRNA pula, angka itu ialah 6.2:100,000 untuk Pfizer-BioNTech dan satu dalam setiap 100,000 untuk Moderna.

"Kadar ini hanya menunjukkan kadar kematian tanpa mengambil kira faktor lain yang boleh juga menyumbang kepada kehilangan nyawa seperti umur dan masa vaksinasi," kata Ye Kung.

Menjawab soalan anggota Parlimen, beliau berkata sekitar 132,000 individu berumur 18 tahun dan ke atas masih belum divaksin dan sekitar 300 orang tidak layak dari segi perubatan.

Dalam masa beberapa bulan lalu, lebih 90 peratus daripada setiap kumpulan umur yang layak sudah diberi vaksin, katanya.

Sementara itu, statistik juga menunjukkan bahawa 15,540 kanak-kanak bawah 12 tahun menghidap COVID-19 di Singapura pada tahun lalu.

Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, memberitahu Parlimen hari ini bahawa sekitar 20 peratus daripada 15,540 kanak-kanak berkenaan lalu dirawat di hospital atau kemudahan COVID-19.

"Tiada seorang pun daripada 3,145 kanak-kanak ini masih dirawat di hospital setakat Sabtu lalu.

"Sejak pertengahan Oktober lalu, Singapura melihat beberapa kes serius COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak, dengan beberapa kes memerlukan jagaan rapi.

"Walaupun kurang kanak-kanak sakit teruk dijangkiti COVID-19 berbanding orang dewasa, masih terdapat risiko mereka juga sakit teruk atau mengalami komplikasi COVID-19 serius seperti sindrom radang pelbagai sistem pada kanak-kanak (MIS-C)," katanya.

Setakat Jumaat lalu, sekitar 123,000 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty atau membuat janji temu mereka.

Kata Dr Janil, Kementerian Kesihatan (MOH) belum menerima sebarang laporan mengenai 'kejadian buruk yang serius atau miokarditis daripada vaksinasi pada kanak-kanak di Singapura' setakat Jumaat lalu.

Di Amerika Syarikat (AS) di mana kira-kira 8.7 juta dos diberikan kepada kanak-kanak hingga 19 Disember, kebanyakan kes reaksi yang dilaporkan tidak serius dan tiada kebimbangan keselamatan ditimbulkan.

Dr Janil berkata, 2.4 peratus daripada kanak-kanak di AS mengalami kesan buruk yang serius seperti demam, muntah, sawan dan miokarditis iaitu keradangan jantung. - AGENSI

Berita Harian X