Ahad, 9 Januari 2022 | 7:48pm
kakitangan perubatan berpakaian biru memeriksa dokumen pengenalan orang ramai yang beratur bagi menjalani ujian calitan COVID-19 di luar sebuah gimnasium di Manila, Filipina susulan jangkitan varian Omicron meningkat naik tiga kali ganda dalam dua hari. - Foto AFP
kakitangan perubatan berpakaian biru memeriksa dokumen pengenalan orang ramai yang beratur bagi menjalani ujian calitan COVID-19 di luar sebuah gimnasium di Manila, Filipina susulan jangkitan varian Omicron meningkat naik tiga kali ganda dalam dua hari. - Foto AFP

Filipina catat kes COVID-19 tertinggi

MANILA: Filipina mengarahkan penambahan katil hospital dan sumber perubatan di Manila serta sekitarnya, ketika negara itu mencatat rekod bagi jangkitan baharu COVID-19.

Hampir 60 peratus daripada 28,707 kes di kesan di Manila, yang merekodkan peningkatan berterusan jumlah kemasukan ke hospital sejak beberapa hari lalu, namun data kerajaan menunjukkan kapasiti hospital masih di bawah paras kritikal.

Jurucakap Pemangku Presiden, Karlo Nograles, berkata pihak berkuasa kesihatan turut diarah meningkatkan kadar vaksinasi di luar Manila, dengan inokulasi di beberapa wilayah masih perlahan.

Buletin Kementerian Kesihatan Filipina memaklumkan 15 individu lagi maut akibat COVID-19, meningkatkan jumlah keseluruhan kematian kepada 52,150 mangsa.

Negara itu merekodkan lebih 2.96 juta kes COVID-19 sejak pandemik itu bermula, antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Beberapa jabatan kerajaan termasuk Senat, Dewan Rakyat dan Pejabat Operasi Komunikasi Presiden mengumumkan penutupan sementara sebagai langkah berjaga-jaga selepas beberapa kakitangannya dijangkiti.

Hujung tahun lalu, 45 peratus daripada 110 juta penduduk negara itu sudah lengkap divaksin.

Mengikut peraturan semasa, individu yang tidak divaksin di Manila hanya boleh keluar daripada kediaman mereka jika mahu mendapatkan barangan keperluan. - AGENSI

Berita Harian X