Ahad, 9 Januari 2022 | 4:58pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Singapura catat 811 jangkitan harian COVID-19 termasuk 404 kes Omicron

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 811 kes jangkitan COVID-19 baru sehingga 12 tengah hari kelmarin termasuk 544 kes import, 253 kes masyarakat dan 14 kes asrama pekerja asing.

Tiada kematian dilaporkan, dengan angka kematian keseluruhan kerana komplikasi coronavirus kini berjumlah 837 kes.

Jumlah kes kelmarin meningkat daripada 777 jangkitan yang dilaporkan sehari sebelumnya.

MOH turut melaporkan 404 jangkitan varian Omicron baru dengan 243 kes import dan 161 kes tempatan, berkurangan daripada yang dilaporkan Jumaat lalu iaitu 535 kes Omicron.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan kelmarin pula adalah 1.73, tambahan daripada 1.69 yang dilaporkan Jumaat lalu.

Ini adalah hari ke-15 berturut-turut di mana berlaku pertambahan angka yang merujuk pada nisbah kes masyarakat bagi minggu terkini, yang mengatasi minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan melebihi angka 1 menunjukkan bahawa kes COVID-19 baru setiap minggu masih meningkat.

Setakat kelmarin, Singapura melaporkan 284,802 kes COVID-19 sejak bermulanya pandemik dua tahun lalu.

Kadar penggunaan Unit Jagaan Rapi (ICU) pula ialah 43.4 peratus, meningkat daripada 43.2 peratus yang dilaporkan Jumaat lalu.

Terdapat 160 pesakit masih dirawat di hospital dengan 12 daripadanya memerlukan sokongan oksigen manakala di ICU, seorang pesakit memerlukan pengawasan rapi sementara 11 lagi sakit tenat.

Sehingga Jumaat lalu, 91 peratus penduduk Singapura yang layak sudah tamat rejim vaksinasi lengkap di bawah program vaksinasi nasional, dengan sekitar 45 peratus penduduk sudah menerima suntikan vaksin penggalak. - AGENSI

Berita Harian X