Selasa, 4 Januari 2022 | 2:06pm
- FOTO AFP
- FOTO AFP

Filipina perluas perintah sekatan cegah COVID-19

MANILA: Filipina akan memperluas perintah sekatan COVID-19 di bandaraya ini mulai esok, membabitkan lebih 11 juta warganya susulan peningkatan kes jangkitan ketika ini.

kes jangkitan harian melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan sehingga awal bulan ini, sekali gus mendorong jabatan kesihatan memberi amaran jumlah kes mungkin meningkat beberapa hari lagi berikutan pengesanan kes varian Omicron.

Jurucakap Presiden, Karlo Nograles berkata, Wilayah Bulacan, Cavite dan Rizal di sekitar Manila diletakkan di bawah amaran ketiga tertinggi susulan lonjakan mendadak kes COVID-19.

Menerusi sekatan lebih ketat sehingga pertengahan Januari ini, penduduk tidak divaksin dilarang keluar rumah, kecuali hendak membeli barang keperluan atau bersenam.

Restoran, taman, gereja dan salun kecantikan akan beroperasi pada kapasiti lebih rendah, manakala kelas bersemuka dan beberapa jenis sukan, digantung.

Perintah itu dikeluarkan sehari selepas Manila beralih ke Tahap Amaran Ketiga.

Menurut data kerajaan, kira-kira 70 peratus penduduk di Metro Manila lengkap divaksin tetapi kurang daripada separuh penduduk di negara itu diberi vaksin lengkap.

"Kami membuat anggaran awal. Andaiannya adalah Omicron lapan kali lebih mudah tersebar berbanding Delta dan kemuncaknya akan berlaku pada akhir Januari," kata Setiausaha Kesihatan, Rosario Vergeire kepada CNN Filipina.

"Angkanya lebih tinggi berbanding ketika waktu kemuncak Delta," katanya.

Vergeire berkata, jabatan kesihatan menganggap 109 juta penduduk berisiko tinggi berikutan lonjakan kes dalam beberapa hari lalu, walaupun kemasukan ke hospital masih terkawal. - AFP

Berita Harian X