Sabtu, 1 Januari 2022 | 7:20pm
Orang ramai menunggu untuk menaiki bas pergi ke wilayah di Filipina, di terminal bas di Paranaque City, Metro Manila. - Foto AGENSI
Orang ramai menunggu untuk menaiki bas pergi ke wilayah di Filipina, di terminal bas di Paranaque City, Metro Manila. - Foto AGENSI

Metro Manila berada di bawah amaran dua minggu mulai Isnin

MANILA: Metro Manila sekali lagi akan diletakkan di bawah Tahap Amaran 3 selama dua minggu mulai Isnin ini berikutan lonjakan kes COVID-19.

Manila Times memetik pemangku jurucakap Istana, Karlo Alexei Nograles, berkata Pasukan Petugas Antara Agensi bagi Pengurusan Penyakit Berjangkit Muncul (IATF) memutuskan untuk meningkatkan tahap amaran di Metro Manila kerana kemungkinan tinggi penularan tempatan varian Omicron.

Semalam, Jabatan Kesihatan (DoH) merekodkan 2,961 jangkitan baharu, tertinggi sejak 10 November apabila 2,639 kes dilaporkan di mana Metro Manila, Calabarzon (Cavite, Laguna, Batangas, Rizal, Quezon) dan Luzon Tengah mempunyai bilangan kes terbanyak.

Kematian berkaitan COVID juga meningkat sebanyak 132 dengan jumlah kematian 51,504.

DoH mengesahkan tiga kes tempatan varian Omicron COVID-19 semalam di mana dua adalah dari Wilayah Bicol manakala satu lagi dari wilayah ibu negeri.

Tiga kes tempatan itu menunjukkan kemungkinan tinggi penularan tempatan dan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengabaikan protokol kesihatan awam minimum.

Selain itu, terdapat juga tujuh kes import tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah 14.

Di bawah Tahap Amaran 3, perjalanan intra zon akan dibenarkan tertakluk kepada sekatan yang dikenakan oleh unit kerajaan tempatan dan urusan perniagaan akan dibenarkan beroperasi pada maksimum 30 peratus kapasiti dalaman.

Menurut Biro Imigresen (BI), mulai hari ini, Filipina tidak akan membenarkan kemasukan pelancong dari enam negara dalam senarai merah IATF.

Pesuruhjaya BI, Jaime Morente, berkata biro itu akan menguatkuasakan resolusi terkini IATF-EID yang mengklasifikasikan negara di bawah senarai merah, kuning dan hijau.

"Hanya warga Filipina, balikbayan (Filipina pulang dari luar negara) dan warga asing dengan visa jangka panjang yang datang dari negara senarai hijau dan kuning boleh dibenarkan masuk ke Filipina," katanya. - AGENSI

Berita Harian X