Rabu, 29 Disember 2021 | 7:33am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Singapura catat 365 kes baru COVID-19 termasuk 134 varian Omicron

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 365 kes jangkitan COVID-19 baru sehingga 12 tengah hari semalam termasuk jumlah rekod 173 kes import.

Menurut perangkaan jangkitan terkini di laman sesawang MOH, tiada kematian dilaporkan dengan angka kematian keseluruhan kerana komplikasi coronavirus kekal pada 825 kes.

Jumlah kes semalam meningkat daripada 280 jangkitan dilaporkan sejati sebelumnya dan ia juga adalah bilangan jangkitan baru keseluruhan tertinggi dilaporkan di negara ini sejak 412 kes baru dilaporkan pada 17 Disember.

Dalam kalangan kes baru yang dilaporkan semalam, 192 kes adalah jangkitan tempatan merangkumi 191 kes masyarakat dan satu kes di asrama pekerja asing.

MOH turut melaporkan 134 jangkitan varian Omicron baru dengan 94 adalah kes import dan 40 kes tempatan.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan semalam adalah 0.67, yang tertinggi sejak 3 Disember pada kadar 0.71.

Angka itu merujuk pada nisbah kes masyarakat bagi minggu yang sudah mengatasi minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan kekal pada paras bawah angka 1 sejak 13 November, bermakna bilangan kes COVID-19 mingguan yang baru berkurangan.

Sehingga semalam, Singapura melaporkan 278,409 kes COVID-19 sejak bermulanya pandemik tahun lalu.

Kadar penggunaan Unit Jagaan Rapi (ICU) pula ialah 49.1 peratus, susut daripada 49.3 peratus yang dilaporkan pada Isnin.

Terdapat 303 pesakit masih dirawat di hospital dengan 43 daripadanya memerlukan sokongan oksigen.

Di ICU, enam pesakit memerlukan pengawasan rapi sementara 17 pesakit pula sakit tenat.

Sehingga Isnin, 91 peratus penduduk Singapura yang layak sudah tamat rejim vaksinasi lengkap di bawah program vaksinasi nasional.

Angka itu sudah dikemaskinikan bagi membabitkan kanak-kanak antara usia lima hingga 11 tahun selepas vaksinasi bagi kelompok usia itu bermula pada Isnin lalu.

Sekitar 38 peratus penduduk Singapura juga sudah menerima suntikan vaksin penggalak. - AGENSI

Berita Harian X