YANGON: Mahkamah junta Myanmar hari ini sekali lagi menangguhkan keputusan perbicaraan bekas pemimpin negara itu yang digulingkan, Aung San Suu Kyi bagi tuduhan mengimport walkie-talkie secara haram, menurut sumber yang mengetahui kes terbabit.
Pemenang Hadiah Nobel itu ditahan sejak tentera melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaannya pada 1 Februari lalu, sekali gus menjadikan ia tempoh demokrasi paling singkat di rantau Asia Tenggara.
Bantahan dilakukan di seluruh negara terhadap tindakan menggulingkan kerajaan disambut dengan tindakan keras berdarah dengan lebih 1,300 orang terbunuh selain lebih 11,000 ditangkap, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Suu Kyi, 76, sepatutnya mendengar keputusan di atas pertuduhannya mengimport secara haram dan memiliki walkie-talkie, yang terbaru dalam katalog penghakiman di mahkamah junta yang boleh mensabitkannya dipenjarakan sepanjang hayat.
Bagaimanapun hakim menangguhkan keputusan itu sehingga 10 Januari depan, kata sumber yang mengetahui kes itu kepada AFP, tanpa memberikan perincian penuh.
Awal bulan ini, Suu Kyi dipenjarakan selama empat tahun kerana provokasi terhadap tentera dan melanggar sekatan COVID-19, satu keputusan yang dikutuk secara meluas masyarakat antarabangsa.
Ketua junta tentera, Min Aung Hlaing kemudiannya menukar tempoh penjara kepada dua tahun dan Suu Kyi menjalani hukuman tahanan di rumah di ibu negara Naypyidaw.
Suu Kyi turut didakwa dengan pelbagai pertuduhan rasuah yang setiap satu boleh dihukum penjara 15 tahun selain berdepan tuduhan melanggar akta rahsia rasmi.
Wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah khas di Naypyidaw dan peguamnya baru-baru ini turut dilarang berkongsi maklumat kepada media. - AFP