Ahad, 26 Disember 2021 | 12:47pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Singapura rekod 98 kes Omicron

SINGAPURA: Republik ini merekodkan 98 kes baharu COVID-19 berpunca varian Omicron semalam, berbanding 82 kes dicatatkan kelmarin.

Daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan ia membabitkan 25 kes tempatan dan 73 kes import.

Ia sekali gus menjadi angka terbesar kes Omicron dalam tempoh 24 jam, sejak varian baharu COVID-19 itu dikesan di Singapura awal bulan ini.

Secara keseluruhan, republik itu merekodkan 448 kes positif akibat Omicron.

Setakat Isnin lalu, angka individu yang positif disebabkan Omicron di Singapura ialah sebanyak 71 kes.

Dalam tempoh 24 jam lalu, republik itu merekodkan sebanyak 248 kes COVID-19 baharu dan 66 daripadanya adalah kes import.

Satu kes kematian direkodkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 821 kes.

Sebanyak 182 kes jangkitan tempatan direkodkan mencakupi 117 kes berlaku dalam komuniti dan lima lagi membabitkan asrama pekerja asing.

Kadar kebolehjangkitan mingguan pada tahap 0.56, naik daripada 0.52 pada Jumaat. Ia merujuk nisbah kes komuniti untuk minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar kebolehjangkitan di Singapura berada bawah paras 1.0 sejak 13 November lalu.

Menurut MOH, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pada tahap 49.6 peratus, menyusut daripada 51.7 peratus sehari sebelumnya.

Terdapat 392 pesakit COVID-19 di hospital dengan 49 orang memerlukan bantuan oksigen, enam lagi dipantau rapat di ICU dan 19 dalam keadaan kritial di ICU.

Setakat semalam, kes kumulatif COVID-19 di Singapura ialah sebanyak 277,555 jangkitan. - AGENSI

Berita Harian X