Ahad, 26 Disember 2021 | 10:36am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Kelompok baru varian Omicron baru dikesan di Singapura

SINGAPURA: Satu lagi kelompok baru COVID-19 varian Omicron membabitkan 10 kes berkait The Vinyl Bar di River Valley Road dikesan.

Semua 10 kes itu sudah divaksin sepenuhnya dan mengalami gejala ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala, kata Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.

MOH sedang mengawal kes berkenaan melalui pengesanan kontak, menurut kenyataan sama.

Kes pertama dalam kelompok adalah seorang lelaki yang tiba di Singapura pada 14 Disember dari Amerika Syarikat (AS) melalui penerbangan Laluan Perjalanan Divaksinasi (VTL), kata MOH.

Ujian ketibaan lelaki itu menunjukkan beliau negatif bagi COVID-19 tetapi kemudian diuji positif pada 18 Disember, kata MOH.

Pada 15 Disember, lelaki itu bertemu dengan seorang rakan kerja, yang dua hari kemudian mengunjungi The Vinyl Bar di 266 River Valley Road.

Siasatan epidemiologi mendapati bahawa kunjungan rakan sekerja lelaki itu berkemungkinan menyebabkan virus menular kepada kakitangan bar, serta tiga pelanggan yang berada di sana pada petang itu.

Salah seorang pelanggan kemudiannya menjangkiti empat anggota isi rumah.

Kakitangan dan pengunjung The Vinyl Bar yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes baru itu akan dikuarantin, kata MOH.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kakitangan dan pengunjung yang berada di bar pada masa yang sama dengan rakan sekerja kes lelaki itu pada 17 Disember akan dihubungi MOH untuk mengambil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) sekali.

Sementara itu, semua pengunjung The Vinyl Bar dinasihatkan untuk memantau kesihatan mereka, dan mengurangkan interaksi sosial selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka.

"Mereka digalakkan berjumpa doktor dengan segera sekiranya rasa kurang sihat," kata MOH.

Dalam kemas kininya, MOH mengesahkan 448 kes Omicron dikesan di Singapura.

Daripada jumlah itu, 369 kes membabitkan kes import manakala baki 79 kes adalah kes dalam masyarakat.

Ia menambah bahawa lebih banyak kes Omicron dikesan kerana varian itu sedang menyebar dengan pantas di banyak negara dan wilayah.

Kelompok Omicron pertama disyaki di Singapura berkait dengan gimnasium Anytime Fitness di pusat beli-belah Anytime Fitness, dan dilaporkan pada Selasa lalu. - AGENSI

Berita Harian X