Rabu, 22 Disember 2021 | 6:59pm
Orang ramai memerhatikan usaha mencari dan menyelamat pelombong jed yang tertimbus ketika berlaku tanah runtuh di Hpakant, Kachin State, utara Myanmar. - Foto EPA
Orang ramai memerhatikan usaha mencari dan menyelamat pelombong jed yang tertimbus ketika berlaku tanah runtuh di Hpakant, Kachin State, utara Myanmar. - Foto EPA

Seorang maut, 70 hilang dalam runtuhan tanah di lombong jed

YANGON: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala puluhan lagi hilang susulan tanah runtuh di lombong jed di utara Myanmar hari ini, kata seorang anggota pasukan penyelamat.

Ramai pekerja maut setiap tahun ketika bekerja dalam perdagangan jed yang menggunakan buruh migran bergaji rendah untuk melombong permata yang sangat diidamkan di negara jiran, China.

Tragedi itu berlaku di lombong Hpakant berhampiran sempadan China di negeri Kachin, di mana berbilion dolar jed dipercayai digali setiap tahun dari lereng bukit.

Anggota pasukan penyelamat, Ko Nyi, berkata antara 70 hingga 100 orang hilang susulan tanah runtuh kira-kira jam 4 pagi selain 25 lagi mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital manakala seorang ditemui maut.

Katanya, kira-kira 200 anggota penyelamat sedang mencari mangsa dengan beberapa daripada mereka menggunakan bot untuk mencari mayat di tasik berhampiran.

Gambar disiarkan di media sosial seorang wartawan tempatan yang berada di lokasi kejadian menunjukkan puluhan orang berdiri di tebing tasik dengan beberapa membawa bot ke dalam air.

Akhbar tempatan Kachin News Group, berkata 20 pelombong dikhuatiri maut dalam kejadian itu.

Perkhidmatan bomba Myanmar berkata anggotanya dari Hpakant dan bandar berdekatan Lone Khin terbabit dalam usaha menyelamat tetapi tidak memberikan angka kematian atau mangsa hilang.

Orang awam sering terperangkap di tengah-tengah persengketaan untuk mengawal lombong Myanmar dan hasil lumayannya dengan perdagangan dadah dan senjata yang berleluasa turut merencatkan konflik itu.

Hujan lebat tahun lalu mencetuskan kejadian tanah runtuh besar di Hpakant yang menimbus hampir 300 pelombong.

Rampasan kuasa tentera Februari lalu juga melenyapkan sebarang harapan pembaharuan dalam industri berbahaya dan tidak terkawal itu, yang dimulakan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, kata pemantau Global Witness.

Global Witness berkata, rampasan kuasa itu juga mencetuskan pertempuran di Kachin antara Tentera Kemerdekaan Kachin yang melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad dengan tentera Myanmar. - AFP

Berita Harian X