Selasa, 21 Disember 2021 | 8:24pm
Lelaki memancing dekat Ko Samet. - Foto AFP
Lelaki memancing dekat Ko Samet. - Foto AFP

Thailand kenakan semula kuarantin

BANGKOK: Thailand mengenakan semula kuarantin wajib kepada pelancong asing mulai hari ini, bagi menyekat penularan varian Omicron, menghapuskan kemudahan tanpa kuarantin yang diperkenal bulan lalu.

Wabak COVID-19 memusnahkan industri pelancongan negara itu, iaitu tahun lalu mencatat kemerosotan paling teruk selepas krisis kewangan Asia pada 1997.

Awal bulan lalu, Thailand membuka pintu kepada pelancong yang lengkap pelalian dari 60 negara, iaitu mereka hanya perlu menunggu semalaman sementara mendapat keputusan ujian negatif PCR.

Kerajaan hari ini mengumumkan skim kemasukan bebas kuarantin atau Test & Go, digantung sekurang-kurangnya dua minggu.

Pelawat yang tidak divaksinasi juga perlu menjalani kuarantin di hotel selama 10 hari atau 14 hari.

Kira-kira 200,000 pelancong yang sudah mengemuka permohonan memasuki negara itu, akan dibenarkan meneruskan lawatan tanpa kuarantin, namun mereka perlu menjalani ujian PCR kedua, menurut jurucakap kerajaan, Tanakorn Wangboonkongchana.

Beliau berkata, skim Phuket Sandbox yang membolehkan pelawat bergerak di pulau itu akan terus beroperasi dan mereka perlu menjalani ujian PCR.

Thailand minggu ini sudah mengesan kes Omicron membabitkan 63 pelancong asing yang masuk ke negaranya, selain satu kes dalam komuniti.

Negara itu juga sudah merekodkan keseluruhan lebih 2.1 juta kes COVID-19. - AFP

Berita Harian X