Isnin, 20 Disember 2021 | 7:17am
Bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi. - Foto AFP
Bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi. - Foto AFP

Keputusan tuduhan import walkie-talkie Suu Kyi ditangguhkan

YANGON: Keputusan mahkamah bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, hari ini bagi tuduhan mengimport walkie-talkie secara haram, ditangguhkan.

Prosiding itu adalah yang terbaru dalam senarai penghakiman di mahkamah junta tentera, sekali gus berdepan dengan hukuman penjara.

Tuduhan itu dikenakan terhadapnya sejak tentera merampas kuasa dan pasukan keselamatan menemui peranti itu ketika menyerbu rumahnya.

Suu Kyi, 76, berdepan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah atas tuduhan mengimport walkie-talkie secara haram dan memiliki peranti itu tanpa lesen, kes pertama difailkan terhadapnya oleh junta tentera.

Sumber yang mengetahui operasi serbuan itu mendakwa, pasukan keselamatan tidak memiliki waran geledah untuk melakukan serbuan.

Pemenang Hadiah Nobel itu ditahan sejak tentera melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaannya pada 1 Februari, sekali gus menjadikan ia tempoh demokrasi paling singkat di negara rantau Asia Tenggara.

Awal bulan ini, Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun kerana menghasut dan melanggar peraturan COVID-19,

Ketua junta tentera, Min Aung Hlaing kemudiannya menukar tempoh penjara kepada dua tahun dan Suu Kyi menjalani hukuman tahanan di rumah di ibu negara Naypyidaw.

Suu Kyi turut didakwa dengan pelbagai pertuduhan rasuah yang setiap satu boleh dihukum penjara 15 tahun selain berdepan tuduhan melanggar akta rahsia rasmi.

Wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah khas di Naypyidaw dan peguamnya baru-baru ini turut dilarang berkongsi maklumat kepada media. - AFP

Berita Harian X