Jumaat, 17 Disember 2021 | 9:54pm
Penganut Katolik menghadiri majlis Kristian di gereja di Las Pinas, pinggir bandar Manila, semalam. - Foto hiasan AFP
Penganut Katolik menghadiri majlis Kristian di gereja di Las Pinas, pinggir bandar Manila, semalam. - Foto hiasan AFP

Omicron ganti Delta, varian paling dominan

MANILA: Varian COVID-19, Omicron kemungkinan besar akan menggantikan Delta sebagai varian paling dominan, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Filipina, hari ini.

"Kemungkinan besar varian Omicron akan menggantikan varian Delta sama seperti varian Delta menggantikan varian Alpha dan Beta sebelum ini.

"Kita boleh jangka perkara ini, berikutan tahap kebolehjangkitan varian itu yang ditunjukkan pada peringkat awal di negara yang terjejas," kata Dr Rabindra Abeyasinghe pada program di saluran berita televisyen.

Dr Abeyasinghe berkata, varian Omicron sudah berada di 77 negara selepas dikesan kali pertama pada November lalu, bukti yang menunjukkan kepantasan varian itu boleh merebak.

"Itulah yang kita lihat di negara yang sudah melaporkan penularan tempatan Omicron, malah di beberapa negara, mereka meramalkan Omicron akan menjadi strain yang dominan dalam masa beberapa minggu," kata pegawai WHO itu.

Filipina mengesahkan dua kes import varian Omicron pada Rabu lalu, membabitkan seorang warga Filipina yang pulang dari Jepun pada 1 Disember lalu dan seorang warga Nigeria yang tiba pada 30 November.

Semua kontak rapat individu itu dalam penerbangan disahkan negatif COVID-19, ketika menjalani kuarantin sebaik mereka tiba.

Kajian awal mendapati varian Omicron mungkin 10 kali lebih cepat berjangkit, berbanding virus asal SARS-CoV-2 atau 4.2 kali lebih cepat berbanding varian Delta.

Varian Delta menyebabkan lonjakan kes pada Ogos dan September lalu, yang kini dianggap sebagai varian COVID-19 yang paling dominan di Filipina.

Selain itu, dr Abeyasinghe memuji kerajaan kerana menangguhkan kemasukan pelancong ke negara itu berikutan penularan Omicron. - AGENSI

Berita Harian X