Jumaat, 17 Disember 2021 | 2:39pm

Singapura kesan 24 kes disahkan Omicron

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesan 24 jangkitan varian baharu COVID-19, Omicron yang disahkan di Singapura, setakat semalam, membabitkan 21 kes import dan tiga penularan tempatan.

"Memandangkan kebolehjangkitannya yang tinggi dan sudah merebak ke banyak bahagian dunia, kita harus menjangka untuk menemui lebih banyak kes Omicron di sempadan negara serta dalam komuniti kita," kata MOH dalam satu kenyataan, malam tadi.

MOH memaklumkan, ia mengesan satu lagi ujian awal kes COVID-19 tempatan yang positif varian Omicron, semalam.

"Kes yang lengkap vaksinasi itu menunjukkan gejala tidak ketara, dan sedang pulih di wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID)," katanya.

MOH menjelaskan, pihaknya sedang berusaha menghalang penularan kes melalui pengesanan kontak.

Dilabel sebagai Kes 276615, ia membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pembantu pemuatan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, dan tidak mempunyai kontak dengan penumpang penerbangan.

Lelaki itu mengalami demam pada 8 Disember lalu sebelum mendapatkan rawatan perubatan di klinik perubatan awam (GP) dan menjalani ujian COVID-19.

Hasil ujian itu mencatat keputusan positif COVID-19 pada hari berikutnya, dan lelaki terbabit diletakkan bawah Program Pemulihan Di Rumah.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes sebelumnya.

Justeru, sampel beliau diuji untuk varian Omicron, semalam, dan keputusan awal menunjukkan ia positif.

Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan sedang melakukan penjujukan genom keseluruhan untuk mengesahkan varian, dan pengesanan kontak turut dijalankan, menurut kenyataan itu.

Singapura melaporkan dua kes import yang pertama membabitkan varian Omicron yang disahkan pada 6 Disember lalu.

Kedua-dua kes berkenaan tiba dari Johannesburg dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Disember lalu. – BERNAMA

Berita Harian X