Isnin, 13 Disember 2021 | 2:26pm
Penduduk kampung Curah Kobokan di Lumanjang, Indonesia memeriksa kerosakan pada rumahnya dengan Gunung Berapi Semeru kelihatan di belakangnya. - Foto AFP
Penduduk kampung Curah Kobokan di Lumanjang, Indonesia memeriksa kerosakan pada rumahnya dengan Gunung Berapi Semeru kelihatan di belakangnya. - Foto AFP

Lebih banyak gunung berapi Indonesia tingkatkan tahap amaran

JAKARTA: Letusan Gunung Semeru di Jawa Timur meningkatkan kebimbangan terhadap gunung berapi lain di serata Indonesia, yang didiami lebih 270 juta penduduk.

Sepanjang seminggu selepas letusan Gunung Semeru, tiga lagi gunung berapi meningkatkan amaran kepada tahap tiga iaitu yang kedua tertinggi, menurut laporan status gunung berapi Pusat Mitigasi Bencana Vulkanologi dan Geologi (PVMBG).

Ini termasuk Gunung Merapi, juga antara gunung berapi paling aktif terletak di sempadan wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta; Gunung Sinabung di wilayah Sumatera Utara dan Gunung Lewotolok di Nusa Tenggara Timur (NTT).

Sementara itu, Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Jawa, kini kekal pada amaran tahap dua, bersama sembilan lagi gunung berapi lain di serata Indonesia .

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), letusan terkini direkodkan bermula di Gunung Semeru pada 4 Disember lalu dan setakat semalam, 46 mangsa disahkan maut manakala sembilan yang lain masih hilang sementara ratusan keluarga terpaksa cari perlindungan.

Semalam, Gunung Merapi memuntahkan kepulan awan panas meliputi radius dua kilometer (km) menurut Ketua Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Teknologi Bencana (BPPTKG), Hanik Humaida.

"Kepulan awan abu panas direkodkan semalam pada jam 10.18 pagi (waktu tempatan) dan memuntahkan lahar sebanyak tiga kali," katanya.

BPPTKG sudah mengeluarkan amaran kepada penduduk tempatan supaya jangan melakukan sebarang kegiatan di kawasan terdedah kepada bahaya kerana sebarang letusan boleh menyebabkan bahan yang dimuntahkan tersebar sejauh tiga km.

Tiada kegiatan pelancongan dibenarkan dalam radius lima km dari puncak gunung dan semua perlombongan perlu dihentikan.

Sementara itu, agensi vulkanologi mengesan kabus tebal berintensiti tinggi di Gunung Sinabung.

Penduduk tempatan dan pelancong diberi amaran jangan melakukan sebarang kegiatan dalam lingkungan tiga km dari puncak gunung.

Susulan peningkatan aktiviti gunung berapi itu, PVMBG mengesyorkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di luar bagi mengelak terhidu abu manakala penduduk di tebing sungai di sekeliling gunung diminta berjaga-jaga terhadap potensi aliran lahar.

Gunung Sinabung, dengan ketinggian 2,460 meter diatas paras laut, sebelum ini meletus pada Ogos 2010, kali pertama dalam tempoh beratus tahun.

Letusan terkini Gunung Sinabung pula berlaku pada 2018 dan tiada aktiviti gunung berapi yang membahayakan nyawa direkodkan sejak itu.

Setakat semalam, puncak Gunung Lewotolok diselubungi jerebu dan kawahnya kelihatan putih kerana dipenuhi asap putih yang tebal.

PVMBG merekodkan gegaran akibat aktiviti gunung berapi yang turut memuntahkan serpihan bahan vulkanik dan tiada kegiatan dibenarkan dalam radius tiga km kerana wujud potensi diselubungi awan panas.

Susulan bahaya daripada abu vulkanik, agensi iu menasihatkan penduduk setempat memakai pelitup muka dan menggunakan sebarang perlindungan lain bagi menutup mata serta kulit.

Data terbaru PVMBG menunjukkan Indonesia kini mempunyai 127 gunung berapi aktif iaitu yang paling banyak di dunia termasuk 20 yang dianggap paling aktif. - AGENSI

Berita Harian X