Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:15pm
Singapura mengesan tiga 3 lagi kes varian Omicron. - Foto AFP
Singapura mengesan tiga 3 lagi kes varian Omicron. - Foto AFP

Singapura: Ujian awal kesan 3 lagi kes varian Omicron

SINGAPURA: Singapura mengesan tiga lagi kes COVID-19 yang hasil ujian saringan awal mendapati positif varian Omicron, satu daripadanya jangkitan tempatan membabitkan seorang lagi pekerja barisan hadapan di lapangan terbang manakala dua lagi kes import.

"Ketiga-tiga kes telah lengkap divaksin dan tanpa gejala dan beransur pulih ketika menjalani pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID)," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan pada lewat semalam.

Kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun, bekerja di bahagian perkhidmatan penumpang di Terminal Lapangan Terbang Changi.

Dikategorikan sebagai kes 276,839, lelaki itu tidak berinteraksi dengan tiga kes Omicron sebelum ini.

"Kes itu tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini - Kes 276,363 - yang juga membabitkan kakitangan perkhidmatan penumpang Lapangan Terbang Changi," menurut kementerian.

Lelaki itu menjalani ujian saringan COVID-19 pada 9 Disember sebagai sebahagian Ujian Rutin Terdaftar (RRT) mingguan untuk pekerja barisan hadapan dan keputusan awal tindak balas rantai polimerase (PCR) didapati positif varian Omicron.

"Dia tidak menunjukkan gejala dan sebaik diberitahu mengenai hasil ujian itu dia telah menjalani kuarantin kendiri di rumah," menurut MOH.

Sementara itu, kes kedua dan ketiga pula membabitkan mereka yang pulang ke Singapura melalui Lorong Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dari United Kingdom (UK) pada 8 Disember.

Kementerian menyatakan, kedua-duanya tidak saling berinteraksi semasa dalam penerbangan.

Dalam kenyataan berasingan, Singapura akan menggunakan dos pediatrik vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty COVID-19 untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

"Vaksinasi untuk kumpulan itu akan dimulakan sebelum akhir tahun ini, sebaik sahaja kami menerima dos vaksin," menurut MOH.

MOH menyatakan, dos yang disyorkan ialah satu pertiga daripada dos yang digunakan untuk mereka berumur 12 tahun ke atas - untuk dua suntikan setiap satu dos pediatrik adalah sebanyak 10 mikrogram - berselang sekurang-kurangnya 21 hari.

Kementerian juga akan melanjutkan program suntikan dos penggalak COVID-19 kepada individu berumur 18 hingga 29 tahun, mulai 14 Disember.

Sehingga kini, 96 peratus penduduk yang layak di Singapura sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 manakala 30 peratus daripada jumlah penduduk telah mendapat dos penggalak. - BERNAMA

Berita Harian X