Jumaat, 10 Disember 2021 | 8:51pm
Laluan sekitar pusat pelancongan utama, Pagoda Shwedagon, yang lazimnya dipenuhi pengunjung termasuk penganut Buddha, dilihat lengang susulan ‘protes senyap’ oleh penduduk di Yangon, Myanmar. - Foto AFP
Laluan sekitar pusat pelancongan utama, Pagoda Shwedagon, yang lazimnya dipenuhi pengunjung termasuk penganut Buddha, dilihat lengang susulan ‘protes senyap’ oleh penduduk di Yangon, Myanmar. - Foto AFP

Penduduk Myanmar lancar 'mogok senyap'

YANGON: Penunjuk perasaan anti rampasan kuasa Myanmar hari ini melancarkan 'mogok senyap' dengan menutup semua premis perniagaan, menjadikan semua bandar utama di negara itu lengang.

Negara Asia Tenggara yang bergolak sejak rampasan kuasa Februari lalu itu menyaksikan ekonominya terjejas dan lebih 1,300 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Jalan-jalan di pusat bandar Yangon serta hab komersial Myanmar dilaporkan lengang tanpa peniaga jalanan dan hanya sedikit lalu lintas, kata wartawan AFP.

Pagoda Shwedagon, yang terkenal sebagai tempat upacara Buddha dan lazimnya dibanjiri pelawat serta penganut juga kini sunyi.

"Restoran, kedai dan pasar raya utama semuanya ditutup," kata seorang penduduk yang di Mandalay, bandar kedua Myanmar kepada AFP, dengan syarat namanya tidak disiarkan.

"Tiada peniaga jalanan mahupun pejalan kaki sejak awal pagi tadi," katanya.

Rakaman gambar yang diambil media tempatan menyaksikan bandar di tenggara, Mawlamyine dan pekan seluruh wilayah utara, sunyi.

Sementara itu, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menasihatkan rakyatnya menjauhi jalan raya sepanjang hari ini, sambil memberi amaran wujud risiko tinggi berlaku keganasan oleh pasukan keselamatan terhadap sebarang perhimpunan atau protes.

Demonstrasi besar-besaran yang menggegarkan bandar dan pekan di Myanmar sejurus selepas rampasan kuasa itu dibalas tindakan keras yang kejam dan tanpa memilih bulu oleh tentera.

Mereka yang turun ke jalanan untuk protes kini berkumpul dalam kumpulan lebih kecil, yang hanya berhimpun selama beberapa minit untuk mengelakkan daripada ditangkap.

Ahad lalu, askar Myanmar didakwa memandu sebuah kereta merempuh ke dalam satu perhimpunan di Yangon, menyebabkan lima penunjuk perasaan terkorban, menurut media tempatan.

Bagaimanapun, junta tentera Myanmar mendakwa sebaliknya, dengan mengatakan hanya tiga penunjuk perasaan cedera. - AFP

Berita Harian X