Jumaat, 10 Disember 2021 | 7:28pm
Seorang lelaki duduk di luar bangunan yang rosak teruk di perkampungan Curah Kobokan di Lumajang selepas letusan Gunung Berapi Semeru menragut 43 nyawa. - Foto AFP
Seorang lelaki duduk di luar bangunan yang rosak teruk di perkampungan Curah Kobokan di Lumajang selepas letusan Gunung Berapi Semeru menragut 43 nyawa. - Foto AFP

Korban Gunung Berapi Semeru meningkat kepada 43 orang

JAKARTA: Kematian akibat letusan Gunung Semeru di Indonesia meningkat kepada 43 orang manakala 104 mangsa lagi cedera, lapor Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan semalam.

Kerja-kerja pemindahan mangsa ditamatkan berikutan lokasi mencari dan menyelamat (SAR) itu dilitupi awan gelap dan cuaca mendung selain wujud risiko berlaku banjir abu gunung berapi, kata jurucakap agensi itu, Abdul Muhari.

"Berdasarkan laporan visual, asap tebal jelas kelihatan dari puncak Semeru sehingga 1,000 meter ke arah ke barat daya pagi ini," katanya.

Lebih 6,000 orang ditempatkan di 121 pusat pemindahan berikutan kediaman mereka berada dalam zon bahaya.

Akibat letusan gunung berapi, ribuan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan ayam musnah sementara puluhan kemudahan awam termasuk jambatan penghubung antara daerah rosak.

Pihak berkuasa sedang mengkaji pembinaan jambatan kecemasan sementara bagi menghubungkan daerah Lumajang dan Malang.

Gunung berapi setinggi 3,676 meter itu meletus buat pertama kali seminggu lalu. - AGENSI

Berita Harian X