Selasa, 7 Disember 2021 | 4:35pm
Gunung Semeru yang kelihatan dari Kampung Sumberwuluh di Lumanjang, hari ini. - Foto AFP
Gunung Semeru yang kelihatan dari Kampung Sumberwuluh di Lumanjang, hari ini. - Foto AFP

Korban Semeru meningkat kepada 34 orang

JAKARTA: Angka kematian akibat letusan Gunung Semeru di Indonesia meningkat kepada 34 orang, hari ini, kata agensi bencana kebangsaan, dengan bantuan dihantar segera ke wilayah yang terjejas.

Gunung terbesar di pulau Jawa itu mengeluarkan abu yang menjulang ke udara Sabtu lalu dan memuntahkan lahar, menyebabkan ribuan penduduk panik dan meninggalkan rumah mereka.

Bencana itu menyebabkan seluruh jalan dipenuhi lumpur dan abu, yang 'menelan' rumah dan kenderaan penduduk.

"Maklumat terkini dari lapangan melaporkan 34 maut, 17 masih hilang," kata jurucakap agensi bencana, Abdul Muhari kepada AFP.

Katanya, hampir 3,700 orang dipindahkan dari kawasan yang terjejas.

Pasukan penyelamat bergelut dalam situasi berbahaya sejak letusan gerapi itu berlaku, bagi mencari mangsa yang terselamat dan mayat dalam serpihan letusan gunung, bangunan yang rosak dan kenderaan yang musnah.

Anjing pengesan turut digunakan hari ini bagi membantu operasi menyelamat.

Gunung Semeru kekal aktif sejak Sabtu lalu, dengan letusan kecil masih berlaku, menyebabkan pekerja kecemasan dan penduduk di kawasan itu dalam keadaan berjaga-jaga.

Pihak berkuasa memaklumkan, terdapat tiga letusan kecil hari ini, yang setiap satunya memuntahkan abu sejauh kira-kira satu kilometer (km) ke udara.

Pegawai menasihatkan penduduk tempatan supaya tidak ke kawasan dalam lingkungan 5 km dari kawah gunung, berikutan udara di sekitar kawasan itu amat tercemar dan boleh memberi kesan kepada golongan berisiko. - AFP

Berita Harian X