Selasa, 7 Disember 2021 | 12:15pm
Gambar hiasan menunjukkan petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 kepada seorang kanak-kanak. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar hiasan menunjukkan petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 kepada seorang kanak-kanak. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Kit PCR khusus bagi varian Omicron dilancar di Singapura

SINGAPURA: Firma bioteknologi tempatan, BioAcumen Global (BioA), melancarkan kit reaksi rantaian polymerase (PCR) COVID-19 yang pertama dan khusus buat varian Omicron.

Kit Pengesanan Omicron BioA mampu mengesan varian Omicron secara khusus selain varian coronavirus lain sebelum ini, lapor akhbar The Straits Times.

Ini bermakna seorang individu akan menerima salah satu daripada tiga hasil ujian iaitu positif COVID-19 dan positif Omicron; positif COVID-19 dan negatif Omicron atau negatif COVID-19 dan Omicron.

Buat masa ini, kit PCR yang berupaya mengesan Omicron memerlukan langkah penjujukan gen bagi mengesahkan varian tertentu, yang mengambil masa tambahan sehari lagi.

Keupayaan kit ujian ini mengesan dan mengenal pasti varian Omicron secara khusus akan mempercepatkan proses ujian berkenaan.

Ujian PCR secara umum mengambil masa beberapa jam untuk memproses, selepas mengambil kira masa yang perlu melakukan sampel calitan, logistik dan muat naik hasil ujian.

Ini tidak termasuk masa yang diperlukan bagi penjujukan gen tambahan jika perlu.

Sesetengah kit PCR seperti yang kini digunakan firma teknologi perubatan Acumen Diagnostics dan firma bioteknologi MiRXES berupaya mengesan kedua-dua varian Delta dan Omicron tetapi bagi mengesahkan jika kes positif Omicron, penjujukan gen diperlukan.

Satu kelebihan ujian Omicron BioA ini adalah ia disejukbekukan supaya tidak memerlukan penyejukan seperti kit ujian PCR 'basah' lain.

Ini memudahkan simpanan dan ketetapan pengangkutan selain membolehkan kit itu disimpan pada suhu bilik sehingga tempoh setahun.

Contoh calitan hanya perlu ditambah pada bahan pracampur sebelum adunan itu dimasukkan ke dalam mesin PCR dan hasilnya akan diperoleh sekitar 90 minit selepas sampel calitan diperoleh.

BioA mula menghasilkan kit yang disejukbeku pada Mei dan melihat pada kemudahan dan kelajuan kit itu boleh mengesan Omicron, syarikat ini berharap kit ini dapat digunakan di tempat seperti pusat pemeriksaan imigresen.

Kata Pengarah BioA, Jimmy Toh, berkata, pihaknya sedang melihat cara bagaimana dapat mengurangkan langkah dan masa yang diperlukan bagi menjalankan ujian itu.

"Ini penting khususnya di sempadan di mana ujian tepat perlu dikendalikan di lokasi berkenaan.

"Tiada masa untuk menanti keputusan penjujukan bagi mengetahui jika contoh positif itu adalah jangkitan varian Omicron," katanya. - AGENSI

Berita Harian X