Selasa, 7 Disember 2021 | 9:08am
Gambar fail bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang diambil pada 7 Januari tahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang diambil pada 7 Januari tahun lalu. - Foto AFP

Ketua junta tentera Myanmar kurangkan hukuman penjara Suu Kyi

YANGON: Ketua junta tentera Myanmar mengurangkan hukuman penjara pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, daripada empat tahun kepada dua tahun.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun, berkata Suu Kyi, 76, sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana menyebarkan hasutan terhadap tentera dan dua tahun lagi penjara kerana gagal mematuhi peraturan bencana berkaitan COVID-19.

Bekas presiden, Win Myint, juga pada mulanya dijatuhkan hukuman penjara empat tahun atas tuduhan sama, yang dikutuk Amerika Syarikat (AS) sebagai pencabulan terhadap keadilan.

Bagaimanapun, ketua junta tentera, Min Aung Hlaing, kemudian mengurangkan hukuman mereka kepada dua tahun penjara, yang akan mereka jalani sebagai tahanan di rumah di Naypyidaw.

Wartawan dihalang untuk mengikut prosiding yang berlangsung di mahkamah khas, dekat Naypyidaw dan peguam Suu Kyi juga berdepan kekangan sama serta tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Timbalan Pengarah serantau Amnesty International (AI) untuk kempen, Ming Yu Hah, mengutuk hukuman yang dijatuhkan terhadap Suu Kyi.

"Hukuman keras dikenakan terhadap Aung San Suu Kyi bersandarkan pertuduhan tidak berasas adalah contoh terbaru kesungguhan tentera untuk menghapuskan semua pembangkang dan meragut kebebasan di Myanmar.

"Keputusan mahkamah yang dicemari rasuah dan tidak masuk akal ialah sebahagian daripada corak hukuman secara jelas sehingga menyaksikan lebih 1,300 orang terbunuh dan ratusan diberkas sejak rampasan kuasa Februari lalu," katanya.

Penasihat kanan Kumpulan Krisis Antarabangsa Myanmar, Richard Horsey, pula memaklumkan hukuman sedemikian mencerminkan kekuasaan dan balas dendam oleh tentera junta.

Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet, berkata keseluruhan perbicaraan mahkamah dikuasai tentera dan hukuman yang dijatuhkan adalah bermotifkan politik.

Sementara itu, Menteri Luar United Kingdom (UK), Liz Truss, menyelar hukuman terbabit dan memberi amaran bahawa penahanan pemimpin yang dipilih rakyat hanya akan mencetuskan lebih banyak bantahan atau tunjuk perasaan. - AFP

Berita Harian X