Isnin, 6 Disember 2021 | 3:19pm
Keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO EPA
Keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO EPA
Gambar dari udara keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO AFP
Gambar dari udara keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO AFP

Gunung berapi Semeru terus muntahkan lebih banyak debu

LUMAJANG (INDONESIA): Gunung berapi Semeru terus memuntahkan lebih banyak debu, hari ini, sehingga menyebabkan anggota pasukan penyelamat terpaksa menghentikan sementara operasi mengesan mangsa.

Gunung berapi terbesar di Pulau Jawa itu meletus, kelmarin, dengan cetusan debu tinggi ke langit bersama aliran lahar.

Ia menyebabkan ribuan penduduk setempat panik dan lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, manakala sekurang-kurang 15 individu dilaporkan terkorban, setakat ini.

Rakaman gambar dari udara menunjukkan keseluruhan jalan dilitupi debu dan lumpur lahar yang menenggelami banyak rumah serta kenderaan, termasuk trak.

Anggota pasukan SAR membawa mayat mangsa kejadian letusan gunung berapi Semeru. - FOTO EPA
Anggota pasukan SAR membawa mayat mangsa kejadian letusan gunung berapi Semeru. - FOTO EPA

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa dihentikan sementara berikutan aktiviti baharu letusan gunung berapi itu, hari ini.

"Semua pasukan penyelamat sudah diarahkan keluar untuk sementara, kerana terdapat letusan baharu yang kecil dan ia boleh membahayakan keselamatan anggota.

"Operasi SAR akan diteruskan semula hari ini sebaik saja keadaan menjadi lebih selamat sedikit," kata seorang anggota terbabit, Rizal Purnama.

Agensi bencana kebangsaan Indonesia memaklumkan, seramai 27 individu dilaporkan masih hilang hingga kini.

Kepulan asap tebal yang berbahaya dilihat terus menyelubungi kawasan dilitupi debu gunung berapi, manakala anggota pasukan SAR pula bertungkus lumus menggali timbunan sisa letusan untuk mengesan mangsa yang terselamat dan juga mayat.

Keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO EPA
Keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO EPA

Usaha mereka berdepan kesukaran semakin mencabar berikutan sisa letusan gunung berapi itu mulai mengeras.

"Ia amat sukar dengan menggunakan peralatan biasa. Besar kemungkinan mangsa yang tidak ditemui sudah tertimbus bawah lumpur lahar yang panas," kata Rizal Purnama.

Sebilangan anggota operasi turut membantu penduduk kampung untuk menyelamatkan barangan dari kediaman mereka yang musnah.

Sesetengah penduduk dilihat memikul tilam dan perabot di atas bahu mereka, manakala ada yang menyelamatkan haiwan ternakan termasuk mendukung kambing.

Keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO AFP
Keadaan di Kampung Sumber Wuluh, Lumajang, susulan letusan gunung berapi Semeru. - FOTO AFP

Pegawai menasihati orang ramai supaya tidak mendekati kawasan dalam lingkungan lima kilometer dari kawah gunung berapi itu, susulan kadar pencemaran udara yang tinggi dalam insiden berkenaan serta boleh memudaratkan golongan rentan.

Dalam pada itu, agensi geologi Indonesia melaporkan, debu daripada letusan gunung berapi terbabit bertebaran hingga sejauh empat kilometer.

Sebuah pejabat syarikat perlombongan pasir di Kampung Renteng ditenggelami sisa letusan yang menyebabkan 15 orang terperangkap, dakwa seorang mandur dikenali sebagai Hasim, 65.

Penduduk turut berusaha menyelamatkan haiwan ternakan. - FOTO EPA
Penduduk turut berusaha menyelamatkan haiwan ternakan. - FOTO EPA

"Tiada perkhabaran mengenai mereka, setakat ini, Hanya seorang mangsa berjaya diselamatkan dan kini dirawat di hospital kerana melecur," katanya kepada AFP.

Dalam pada itu, pegawai penyelamat memberitahu, ada mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri dan tertimbus di dalam kenderaan mereka.

Debu dan lumpur lahar turut mencemari saliran di sekitar gunung berapi itu, mengubahnya menjadi selut berwarna kelabu gelap.

Hujan diramal melanda kawasan berkenaan, yang boleh menjejaskan operasi SAR.

Malah pakar gunung berapi, Surono, berkata hujan juga berisiko menyebabkan sedimen abu membentuk sungai lahar panas yang baharu. - AFP

Berita Harian X