Isnin, 6 Disember 2021 | 12:25pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Singapura catat satu lagi kes import Omicron

SINGAPURA: Satu lagi kes import COVID-19 di Singapura mencatat keputusan positif varian Omicron dalam ujian awal, selepas dua kes pertama yang seumpama itu dilaporkan minggu lalu.

Kes terbabit kini semakin pulih dan dirawat di wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID), kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam kemas kini harian mengenai COVID-19, malam tadi.

Menurut MOH, kes ketiga itu yang dilabel sebagai Kes 273611, membabitkan seorang lelaki pemastautin tetap Singapura berusia 37 tahun yang tiba dari Afrika Selatan dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Disember lalu.

"Beliau sudah lengkap vaksinasi, serta mempunyai gejala ringan dengan demam dan sakit tekak.

"Beliau juga tidak berinteraksi dengan masyarakat, Setakat ini, tiada bukti penularan komuniti daripada kes berkenaan," menurut kenyataan itu.

Ujian saringan COVID-19 lelaki itu sebelum berlepas dari Johannesburg pada 29 November lalu, mencatat keputusan negatif.

Setiba di Singapura, beliau dikuarantin di kemudahan khusus Notis Duduk Rumah (SHN), manakala ujian PCR pada 1 dan 3 Disember lalu juga menunjukkan keputusan negatif.

Pada 4 Disember lalu, pesakit mengalami demam dan sakit tekak sebelum dihantar ke NCID, dan keputusan ujian awalnya adalah positif varian Omicron.

"Makmal Kesihatan Awam Nasional sedang menjalankan penjujukan genom keseluruhan bagi mengesahkan varian berkenaan," kata kementerian itu.

MOH memaklumkan, lelaki itu berada dalam penerbangan sama dengan dua kes Omicron sebelum ini, iaitu Kes 271487 dan 271958 yang dikesan sebagai jangkitan pertama varian baharu terbabit di Singapura.

Pada 2 Disember lalu, Singapura melaporkan dua kes import COVID-19 yang mencatat keputusan positif varian Omicron dalam ujian awal, namun keputusan ujian pengesahan masih belum selesai.

Kesemua 18 penumpang lain dalam penerbangan itu telah diuji negatif untuk jangkitan COVID-19 dan dikuarantin di kemudahan SHN yang ditetapkan. – BERNAMA

Berita Harian X