Ahad, 5 Disember 2021 | 7:11pm
Ketua Junta, Min Aung Hlaing (kiri) bertemu ahli politik lama dan penyokong NLD, Tin Oo. - Foto AFP
Ketua Junta, Min Aung Hlaing (kiri) bertemu ahli politik lama dan penyokong NLD, Tin Oo. - Foto AFP

Ketua junta Myanmar bertemu penyokong parti Suu Kyi

YANGON: Ketua junta Myanmar hari ini duduk bersama seorang tokoh kanan terkemuka parti pimpinan Aung San Suu Kyi yang digulingkan, pertemuan penting pertama sejak rampasan kuasa Februari.

Tentera menggulingkan Suu Kyi dan parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang dipimpinnya daripada kuasa, mendorong ramai sekutu politik terdekatnya bersembunyi, manakala yang lain telah ditangkap.

Junta mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya tahun lalu sebagai justifikasi untuk rampasan kuasa oleh tentera, tetapi kebanyakan negara menggesa Myanmar supaya kembali kepada demokrasi.

Ketua Junta, Min Aung Hlaing hari ini bertemu dengan ahli politik veteran dan penyokong NLD, Tin Oo, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berundur daripada landskap politik kerana usia tua dan kesihatan yang tidak baik.

"Min Aung Hlaing memberitahu U Tin Oo bahawa rawatan kesihatan boleh diberikan jika perlu, dan hospital tenteranya akan membantu," pasukan maklumat junta mengumumkan.

Tin Oo, bekas jeneral tentera berusia 94 tahun dan pengasas bersama NLD, digambarkan memakai pin partinya - lambang bendera merah dengan burung merak emas - semasa pertemuan dengan Aung Hlaing, yang tersenyum lebar dan berpakaian awam.

Ketua junta itu juga bertemu dengan Khin Nyunt, bekas ketua perisik yang bertukar menjadi perdana menteri sebelum ditangkap di bawah bekas junta.

"Min Aung Hlaing juga pergi berjumpa U Khin Nyunt... dan bertanya mengenai keadaan kesihatannya."

Lelaki berusia 82 tahun itu menghabiskan bertahun-tahun di penjara sebelum dibebaskan pada 2012.

Walaupun sesetengah orang di Barat melihatnya sebagai seorang berpotensi membawa pembaharuan, pemerintahan Khin Nyunt sebagai ketua perisik menyaksikan aktivis diganggu, ditangkap dan diseksa secara beramai-ramai.

Ejen perisikan Khin Nyunt - yang pernah menyusup ke setiap kejiranan di seluruh Myanmar - telah dibersihkan selepas penyingkirannya, manakala Tin Oo tidak lagi memainkan peranan aktif dalam hal ehwal parti NLD, kata Richard Horsey, penasihat kanan Myanmar International Crisis Group.

"Nampaknya tidak mungkin pertemuan ini dibenarkan oleh NLD," kata Horsey kepada AFP.

"Memandangkan Min Aung Hlaing nampaknya bertekad untuk mengetepikan Aung San Suu Kyi dan tidak akan bertemu dengannya, mungkin beliau sedang mencari mesyuarat lain yang bebas kos politik."

Selepas rampasan kuasa Februari, Suu Kyi diletakkan di bawah tahanan rumah.

Beliau kini menghadapi pelbagai pertuduhan yang boleh menyebabkannya dia dipenjarakan selama beberapa dekad.

Pertemuan hari ini diadakan pada malam sebelum keputusan mahkamah junta atas tuduhan Suu Kyi menghasut dan melanggar sekatan coronavirus.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan minggu lalu, tetapi mahkamah menangguhkannya sehingga 6 Disember, tanpa memberikan alasan. - AFP

Berita Harian X