Ahad, 5 Disember 2021 | 9:56am
Penduduk dan penyelamat berusaha mencari penduduk yang mungkin terperangkap di bawah timbunan abu gunung berapi Semeru. - Foto AFP
Penduduk dan penyelamat berusaha mencari penduduk yang mungkin terperangkap di bawah timbunan abu gunung berapi Semeru. - Foto AFP

Letusan Semeru ragut 13 nyawa

JAKARTA: Gunung berapi Semeru yang meletus semalam, meragut 13 nyawa setakat ini ketika pasukan penyelamat menggandakan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang terselamat.

Jurucakap Agensi Bencana Mitigasi Kebangsaan, Abdul Muhari berkata, pasukan penyelamat kini bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah litupan debu gunung berapi.

"Angka kematian meningkat kepada 13 orang ketika ini. Penyelamat menemui banyak mangsa yang terbunuh," katanya sambil menambah 10 mangsa yang tertimbus berjaya diselamatkan hidup-hidup.

Laporan awal menyebut, letusan Semeru itu meragut satu nyawa manakala berpuluh lagi melecur serta ratusan terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Pihak berkuasa berkata, dua lagi penduduk dilaporkan hilang manakala lapan terperangkap dalam sisa letusan.

Lebih 300 keluarga dengan kanak-kanak terpaksa mendapatkan perlindungan di kampung Curah Kerobokan di Lumajang, Jawa Timur yang turut terjejas, selepas rumah mereka musnah akibat ditimpa abu gunung berapi dan lava.

Penduduk dan penyelamat memeriksa kawasan dilitupi abu gunung berapi Semeru di Kampung Sumber Wuluh bagi mencari mangsa yang terselamat. - Foto AFP
Penduduk dan penyelamat memeriksa kawasan dilitupi abu gunung berapi Semeru di Kampung Sumber Wuluh bagi mencari mangsa yang terselamat. - Foto AFP

Pihak berkuasa tempatan berkata, penduduk di kampung berdekatan juga lari menyelamatkan apabila lava dan abu gunung berapi menghampiri penempatan mereka.

Pihak penyelamat di Curah Kerobokan pula menemui satu mayat selepas sekitar sejam selepas operasi mencari dijalankan.

Timbalan pemimpin Lumajang, Indah Masdar berkata, seramai 41 orang melecur teruk apabila terkena lahar gunung berapi.

"Kami membawa mereka yang cedera ke pusat kesihatan dan yang melecur juga sangat serius dan terpaksa di bawa ke hospital," katanya.

Beliau berkata, dua yang cedera yang dirawat di pusat kesihatan adalah wanita mengandung.

Penduduk yang terselamat berlindung di masjid dekat Kampung Sumber Wuluh di Lumanjang. - Foto AFP
Penduduk yang terselamat berlindung di masjid dekat Kampung Sumber Wuluh di Lumanjang. - Foto AFP

Abu tebal serta lava setinggi paras lutut yang mula keras menyukarkan kerja pasukan penyelamat mencari dua penduduk yang hilang serta menyelamat lapan orang yang terperangkap di sebuah bangunan dilitupi debu.

Masdar berkata, akses ke Lumajang juga terputus apabila lava yang sudah sejuk memusnahkan satu jambatan.

Pasukan bantuan dilaporkan sukar ke lokasi membantu penduduk yang berteduh akibat timbunan debu gunung berapi menghalang mereka sampai ke destinasi.

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia berkata, abu gunung berapi itu memasuki Lautan Hindi di bahagian selatan kepulauan Jawa itu. - AFP

Berita Harian X