Isnin, 29 November 2021 | 5:32pm
Kakitangan perubatan mengendalikan program inokulasi COVID-19 tiga hari di Makati City, Manila, di mana kerajaan Filipina menyasarkan sembilan juta orang menerima suntikan vaksin. - Foto AFP
Kakitangan perubatan mengendalikan program inokulasi COVID-19 tiga hari di Makati City, Manila, di mana kerajaan Filipina menyasarkan sembilan juta orang menerima suntikan vaksin. - Foto AFP

Filipina tangguh benarkan pelancong divaksin

MANILA: Filipina menangguhkan kemasukan pelancong yang divaksin sepenuhnya ke negara itu susulan kemunculan varian baharu COVID-19, Omicron.

Keputusan itu dibuat sebagai usaha menyekat penyebaran varian baharu coronavirus ketika sebahagian besar penduduk negara itu masih belum divaksinasi.

Langkah itu selaras dengan usaha negara itu memperhebatkan program inokulasi tiga hari yang menyasarkan sembilan juta orang seawal usia 12 tahun disuntik vaksin.

Setakat ini, Filipina tidak melaporkan sebarang kes varian Omicron, yang mula dikesan di Afrika Selatan dan kini semakin pantas merebak ke seluruh dunia.

Minggu lalu, Manila mengumumkan rancangan membenarkan pelancong yang sudah lengkap divaksin untuk masuk ke negara itu mulai 1 Disember ini, dalam usaha memulihkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

Namun, Pasukan Petugas Khas COVID-19 mengambil keputusan menangguhkan keputusan itu hujung minggu lalu, dengan menggantung penerbangan dari tujuh negara Eropah selain larangan ketibaan penerbangan dari beberapa negara Afrika.

Pesuruhjaya Biro Imigresen, Jaime Morente, berkata Pasukan Petugas Antara Agensi (IATF) untuk Pengurusan Penyakit Berjangkit menganggap perlu untuk menggantung kemasukan pelancong asing susulan kebimbangan dunia terhadap varian Omicron.

Keputusan itu satu tamparan hebat kepada pengendali pelancongan di seluruh negara itu, yang terjejas teruk akibat penurunan jumlah pelancongan antarabangsa dan sekatan perjalanan domestik sejak pintu sempadan ditutup pada Mac 2020.

Data rasmi kerajaan mencatatkan pelancongan sebagai sektor pemacu utama ekonomi negara itu, menyumbang hampir 13 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2019, dengan lebih lapan juta pelawat.

Kadar itu merosot menjadi 5.4 peratus tahun lalu apabila ketibaan pelancong susut 82 peratus kepada 1.48 juta orang.

Negara itu melonggarkan beberapa sekatan sejak kebelakangan ini kerana kadar jangkitan harian berada pada paras terendah sejak awal tahun dan kadar vaksinasi di seluruh negara semakin meningkat.

Namun, kemunculan Omicron menimbulkan kebimbangan kemungkinan sekatan boleh dikenakan semula.

Kira-kira satu pertiga daripada 110 juta orang di negara itu sudah menerima vaksin lengkap.

Filipina merekodkan lebih 2.8 juta jangkitan sejak permulaan wabak itu, termasuk lebih 48,000 kematian. - AFP

Berita Harian X