Isnin, 29 November 2021 | 4:51pm
Penunjuk perasaan di Thailand membanjiri ibu kota, Bangkok. - Foto AFP
Penunjuk perasaan di Thailand membanjiri ibu kota, Bangkok. - Foto AFP

Rakyat Thai teruskan usaha tuntut pembaharuan institusi diraja

BANGKOK: Kemelut politik di Thailand berterusan dalam kalangan ahli politik dan juga penduduk negara itu dengan penganjuran lebih banyak tunjuk perasaan baharu.

Ini berikutan rang undang-undang (RUU) bagi menghapuskan atau merombak institusi penting yang didakwa dikuasai pihak elit tentera ditewaskan di Parlimen baru-baru ini.

Sehubungan itu, ribuan rakyat Thailand kembali memenuhi jalan raya ibu kota Bangkok untuk menuntut pembaharuan badan pentadbiran negara dan pembaharuan institusi diraja.

Tindakan itu secara langsung menunjukkan penolakan umum terhadap keputusan mahkamah bahawa tuntutan sedemikian adalah percubaan mahu menggulingkan institusi itu.

Satu sesi bersama di Dewan Rendah Parlimen dan Senat mengundi 473-206 untuk menolak RUU menuntut Perlembagaan yang diluluskan di bawah junta tentera pada 2017, yang digubal bagi memastikan pemisahan kuasa yang lebih jelas.

Menurut penyokong RUU itu, kerajaan Thailand masih diketuai dalang rampasan kuasa 2014, yang kekal berkuasa selepas pilihan raya 2019 dan memihak kepada tentera.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, pemimpin rampasan kuasa berkenaan, menafikan perkara itu.

Deraf itu disokong 130,000 pempetisyen dan berusaha memansuhkan 250 kerusi Senat yang dilantik junta tentera di samping menyusun semula mahkamah perlembagaan dan agensi utama negara itu.

Pengkritik kerajaan, termasuk gerakan bantahan diterajui pelajar yang muncul tahun lalu, berkata demokrasi diketepikan oleh tentera dan sekutu diraja, yang mempunyai pengaruh ke atas institusi bebas.

Salah seorang aktivis, Parit Wacharasindhu, berkata Perlembagaan 2017 melindungi dan membolehkan Prayut meluaskan kuasanya dengan menyediakan mekanisme kawalan melalui Senat dan agensi bebas.

Anggota Parlimen prokerajaan pula mempertahankan Perlembagaan itu, mengulangi bahawa ia disahkan dalam satu pungutan suara, selain rampasan kuasa itu perlu untuk menangani krisis politik.

Thailand menyaksikan 20 rombakan Perlembagaan dan 13 rampasan kuasa sejak berakhirnya pemerintahan beraja mutlak pada 1932 dan terkini, bantahan terus diadakan bagi pembaharuan institusi diraja.

Tunjuk perasaan diadakan di Bangkok beberapa hari selepas keputusan kontroversi mahkamah yang memutuskan tiga pemimpin tunjuk perasaan bersalah kerana melanggar Perlembagaan melalui ucapan dan tindakan mereka yang disifatkan bertujuan menjatuhkan institusi diraja.

Mahkamah memutuskan Panusaya 'Rung' Sithijirawattanakul, Arnon Nampa dan Panupong 'Mike' Jadnok melanggar Perlembagaan melarang sebarang tindakan untuk menggulingkan institusi diraja.

Pada satu program tahun lalu, mereka berucap menyentuh mengenai pembaharuan institusi diraja dan memansuhkan undang-undang 'lese majeste' (menghina institusi diraja).

Sejak bantahan diketuai golongan muda bermula tahun lalu, sekurang-kurangnya 155 orang didakwa atas tuduhan 'lese majeste'. - AGENSI

Berita Harian X