Ahad, 28 November 2021 | 4:46pm
Gambar fail menunjukkan Tambak Johor, laluan darat utama Malaysia-Singapura yang beberapa kali menyaksikan sekatan akibat pandemik COVID-19 sejak April tahun lalu. - Foto AGENSI
Gambar fail menunjukkan Tambak Johor, laluan darat utama Malaysia-Singapura yang beberapa kali menyaksikan sekatan akibat pandemik COVID-19 sejak April tahun lalu. - Foto AGENSI

Pengembara VTL-Darat wajib jalani saringan COVID-19 mulai esok

SINGAPURA: Semua pengembara yang tiba di Singapura dari Malaysia melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Darat) wajib menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) semasa ketibaan.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI), dalam satu kenyataan, berkata ia akan berkuat kuasa jam 8 pagi esok bermula dengan pengembara darat pertama yang tiba di Singapura.

Kementerian memaklumkan langkah itu diambil ekoran perkembangan terbaru mengenai varian baharu COVID-19, B.1.1.529 atau Omicron, yang lebih pantas merebak.

"ART semasa ketibaan membolehkan kami mengurangkan risiko penularan B.1.1.529 ke Singapura dan membolehkan kami memperluas VTL-Darat secara beransur-ansur dengan selamat dan tersusun," katanya.

Ujian saringan ART itu akan dilaksana di Depoh Pertukaran Bas Sementara Woodlands dan Terminal Queen Street manakala pembayaran ART perlu dibuat secara e-pembayaran di pusat ujian.

Sebelum ini, dalam kenyataan dikeluarkan Rabu lalu, mereka yang mengunjungi Singapura dari Malaysia harus diuji negatif COVID-19.

Ia akan disahkan menerusi ujian reaksi rantaian polymerase (PRC) pra perjalanan atau ART yang ditadbir secara profesional, yang harus dilakukan dua hari sebelum perjalanan ke Singapura.

Ujian ini juga diperlukan bagi mereka yang mengembara dari Singapura ke Malaysia seiringan dengan ART sewaktu ketibaan yang perlu dibuat di Terminal Bas Larkin Sentral.

Kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah tidak perlu menjalani ujian itu.

Singapura dan Malaysia melancarkan VTL-Darat merentasi Tambak mulai esok untuk membuka semula perjalanan rentas sempadan bebas kuarantin selepas hampir 20 bulan sekatan sempadan dilaksana sejak Mac tahun lalu.

Hingga 2,880 orang akan berpeluang melalui perjalanan sebegini setiap hari dengan 1,440 pengunjung dari setiap hala (Singapura atau Malaysia).

Pengunjung mestilah warga negara, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang (permit kerja, pas pekerjaan, pas pelajar atau pas lawatan jangka panjang) negara yang mereka masuki.

Mereka juga harus menggunakan salah satu daripada 64 khidmat bas VTL yang dikhususkan dan beroperasi antara 7.30 pagi dengan 9.30 malam setiap hari.

Kementerian turut mengingatkan semua pengembara untuk membeli tiket bas dan memastikan mempunyai dokumen diperlukan sebelum menaiki bas VTL yang ditetapkan.

Maklumat lanjut VTL-Land Singapura dan Malaysia, boleh didapati di laman sesawang https://safetravel.ica.gov.sg/vtl-land/overview. - AGENSI

Berita Harian X