Sabtu, 27 November 2021 | 6:03pm
Pannir Selvam Pranthaman, seorang lagi rakyat Malaysia yang dikenakan hukuman mati atas kesalahan dadah. - Foto Facebook
Pannir Selvam Pranthaman, seorang lagi rakyat Malaysia yang dikenakan hukuman mati atas kesalahan dadah. - Foto Facebook

Lagi rakyat Malaysia dijatuhi hukuman mati di Singapura

SINGAPURA: Pannir Selvam Pranthaman, seorang lagi rakyat Malaysia yang dikenakan hukuman mati atas kesalahan dadah, gagal dalam rayuan akhirnya pada Jumaat lalu untuk mencabar keputusan mahkamah ke atasnya.

Pannir sebelum ini dijadual menjalani hukuman mati pada 24 Mei 2019, tetapi pada 23 Mei 2019 Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan menangguhkan hukuman mati bagi membolehkannya mencabar proses pengampunan.

Dia disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 atas tuduhan mengedar 51.84 gram diamorphine ketika ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

Pada 12 Februari 2020, Mahkamah Tinggi menolak usahanya untuk mencabar keputusan mahkamah yang mengetepikan permohonan pengampunan.

Awal bulan ini, seorang lagi warga Malaysia Nagaentran K Dharmalingam, dijatuhi hukum mati pada 10 November, terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Rayuan dimaklumkan dia didapati positif COVID-19.

Rayuan Nagaentran akan didengar pada Selasa ini.

Untuk kes Pannir, dilaporkan selain mencabar proses pengampunan, Pannir turut memfailkan cabaran ke atas keputusan Pendakwa Raya yang tidak memberikan kepadanya perakuan memberi pertolongan kepada pasukan pendakwa.

Keputusan mahkamah semalam dilaporkan tertumpu kepada sama ada maklumat yang disalurkan Pannir kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) benar-benar dapat membantu agensi itu melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah.

Menurut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura, mereka yang ditahan kerana mengedar dadah dan diberikan sijil perakuan sebagai pemberi maklumat kepada pendakwa, boleh mengelak hukuman mati tetapi diganti dengan penjara seumur hidup dan sebatan.

Sementara itu, keluarga Pannir tetap tenang walaupun selepas dimaklumkan mengenai keputusan penghakiman itu.

"Kami cuba bertenang meskipun perasaan sengsara. Kami berusaha untuk tenang kerana kami percaya kepada Tuhan," kata kakaknya, Sangkari Pranthaman ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ditanya apakah langkah seterusnya, Sangkari berkata mereka masih menunggu arahan peguam.

"Setakat ini kami tidak tahu apa perlu dilakukan sebenarnya. Kami buntu. Kami cuba untuk menerima hakikat. Tapi perlu lakukan sesuatu," katanya.

Sangkari merancang untuk pergi ke Singapura selepas tidak berjumpa adiknya, yang ketiga daripada lapan adik beradik, kira-kira 20 bulan akibat pandemik COVID-19.

"Saya fikir nak ke Singapura lagi. Mungkin dalam waktu terdekat, saya akan ke Singapura untuk bertemu adik saya. Saya (akan pergi) dengan adik perempuan saya," tambahnya.

Sangkari turut berkongsi apa yang Pannir katakan ketika menghubunginya kira-kira jam 3 petang sejurus selepas penghakiman kes itu.

"Jangan sedih. Saya tahu awak sangat sedih. Mesti peguam sudah maklumkan pada awak. Jangan rasa bersalah. Kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan. Saya cuma nak bagi tahu yang saya okey," kata Pannir kepada kakaknya.

Sangkari berkata Pannir masih positif dan kuat disebalik ketidaktentuan itu.

Sementara itu, seorang daripada peguam Pannir, Too Xing Ji, dilaporkan berkata semalam bahawa anak guamnya tidak diberikan sebarang arahan untuk memfailkan permohonan lanjut. - BERNAMA

Berita Harian X