Jumaat, 26 November 2021 | 6:12pm
Singapura akan menyekat ketibaan dari tujuh negara Afrika, selepas Afrika Selatan menemui varian baharu COVID-19. - Foto AFP
Singapura akan menyekat ketibaan dari tujuh negara Afrika, selepas Afrika Selatan menemui varian baharu COVID-19. - Foto AFP

Singapura sekat ketibaan dari 7 negara Afrika

SINGAPURA: Singapura akan menyekat ketibaan dari tujuh negara Afrika, selepas Afrika Selatan menemui varian baharu COVID-19 dengan sejumlah besar mutasi, kata pegawai kesihatan hari ini.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, semua bukan warga negara dan individu berstatus tanpa pemastautin tetap di negara itu yang mempunyai sejarah perjalanan ke tujuh negara berkenaan baru-baru ini akan dihalang daripada memasuki atau transit melalui Singapura.

Jelasnya, sekatan terbaharu berkuatkuasa Ahad ini termasuk bagi Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Bagaimanapun, warga negara Singapura dan warga asing yang memegang status pemastautin tetap di negara itu yang tiba dari negara disenaraikan, masih dibenarkan masuk, namun perlu menjalani kuarantin selama 10 hari.

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan berkata, Singapura tidak merekodkan sebarang kes berkaitan varian baharu itu, tetapi pihak berkuasa berusaha 'mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk mengurangkan risiko', kemungkinan ia merebak ke negara itu.

Untuk rekod, situasi penularan COVID-19 di Singapura adalah sederhana dengan hampir 260,000 kes dicatatkan, selain 681 kematian.

Semalam, kumpulan saintis di Afrika Selatan mengumumkan penemuan varian itu yang menggunakan label B.1.1.529 dan mendakwa ia menjadi penyumbang kepada peningkatan jangkitan semasa. - AFP

Berita Harian X