Jumaat, 26 November 2021 | 5:46pm
Pulau Boracay di tengah-tengah Filipina adalah salah satu destinasi pelancongan utama negara. - Foto AFP
Pulau Boracay di tengah-tengah Filipina adalah salah satu destinasi pelancongan utama negara. - Foto AFP

Filipina dibuka semula untuk pelancong lengkap vaksinasi

MANILA: Kerajaan Filipina akan menerima semula kedatangan pelancong yang lengkap vaksinasi dari kebanyakan negara pada minggu depan, selepas menutup sempadannya lebih 20 bulan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Jurucakap kepada Presiden Filipina, Karlo Nograles, memberitahu wartawan, penurunan jangkitan baharu COVID-19 dan peningkatan liputan vaksin membolehkan negara itu memulihkan sektor pelancongan yang terjejas dengan pembukaan semula sempadan berkuatkuasa 1 Disember depan.

Pelancong yang lengkap vaksinasi dari 157 negara tidak akan dikuarantin jika hasil ujian mereka didapati negatif sebelum penerbangan mereka dan sekiranya mereka tidak mengunjungi negara yang mempunyai kadar jangkitan tinggi dalam tempoh dua minggu sebelum itu.

Mengikut Nograles, senarai negara yang diluluskan itu tidak termasuk China iaitu antara pasaran pelancong tertinggi di negara itu, selain Taiwan dan India.

Bagaimanapun, 10 sumber pelancongan tertinggi bagi Manila termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Australia, Kanada, Britain dan Jerman dibenarkan masuk ke negara itu.

Senarai itu membenarkan penyambungan semula perjalanan tanpa visa untuk lawatan singkat di bawah 30 hari kepada warga negara dari 157 negara yang telah menikmati kemasukan tanpa permit ke Filipina sebelum tercetusnya wabak itu.

"Ini tentunya peluang untuk memulihkan ekonomi negara," tambahnya.

Menurut data rasmi, pelancongan adalah pemacu utama ekonomi bagi negara Asia Tenggara itu, menyumbang hampir 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) pada 2019, apabila lebih lapan juta orang melawat, negara itu.

Ia merosot kepada 5.4 peratus tahun pada tahun lalu susulan ketibaan pelancong merosot sebanyak 82 peratus kepada 1.48 juta orang.

Kerajaan Filipina melonggarkan sekatan dalam tempoh beberapa minggu lalu susulan kadar jangkitan harian mencatatkan penurunan pada paras terendah sejak awal tahun, sementara kadar vaksinasi di seluruh merekodkan peningkatan.

Filipina merekodkan 2.8 juta jangkitan sejak bermulanya pandemik dengan 48,000 kematian.

Pada masa ini, sekitar satu pertiga daripada 110 juta populasi penduduknya telah melengkapkan vaksinasi. - AFP

Berita Harian X