Isnin, 22 November 2021 | 4:22pm
Gambar tangkap layar menunjukkan Presiden China, Xi Jinping, mempengerusikan dialog pertama sidang kemuncak sempena persahabatan 30 tahun China-ASEAN. - Foto EPA
Gambar tangkap layar menunjukkan Presiden China, Xi Jinping, mempengerusikan dialog pertama sidang kemuncak sempena persahabatan 30 tahun China-ASEAN. - Foto EPA

China, ASEAN mulakan dialog sempena persahabatan 30 tahun

BEIJING: Pemimpin China dan ASEAN beriltizam memanfaatkan sidang kemuncak sempena ulang tahun ke-30 persahabatan mereka dengan dialog meningkatkan kerjasama pelbagai hala.

Menurut wakil kerajaan China, sidang kemuncak itu juga akan menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Melalui sidang kemuncak itu, Presiden China, Xi Jinping, dijadual menghadiri dan mempengerusikan dialog melalui pautan video hari ini, yang dihadiri semua negara ASEAN kecuali Myanmar.

Menurut Kementerian Luar, Xi akan bekerjasama dengan barisan pemimpin ASEAN untuk melihat semula pencapaian utama dan rekod hubungan mereka sejak tiga dekad lalu, sekali gus melakar hala tuju kemajuan masa depan.

Sidang kemuncak itu diadakan ketika China dan kebanyakan negara ASEAN kini menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain. 

Penganjuran itu juga hasil Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) iaitu perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang akan dikuatkuasa 1 Januari ini.

Perjanjian itu sudah ditandatangani oleh semua 10 anggota ASEAN dan lima negara Asia Pasifik yang lain, termasuk China.

Ahli Majlis Negeri dan Menteri Luar China, Wang Yi, berkata perkongsian dialog China dengan ASEAN menjadi contoh perintis kerjasama yang baik di rantau Asia-Pasifik.

"China dan ASEAN bekerjasama secara produktif dalam hal ehwal maritim, jaringan rangkaian, pembangunan mampan dan ekonomi iaitu empat bidang keutamaan yang dicadangkan ASEAN.

"Kami bersedia untuk menguatkan lagi kerjasama dalam bidang ini," katanya ketika mesyuarat maya secara Dewan Perbandaran Global 2021 mengenai tindak balas wabak COVID-19 kelmarin.

Tambah beliau, di sebalik landskap antarabangsa yang semakin berkembang, rantau Asia-Pasifik kini berdepan dua cabaran utama.

Ia termasuk tumpuan kepada kerjasama saling menguntungkan bagi pembangunan bersama dan keamanan serta kestabilan serantau selain menangkis cubaan mencetuskan perpecahan, konflik, pergaduhan serta membina blok politik atau ketenteraan.

Menurut data Kementerian Perdagangan China, segmen perdagangan antara China dan ASEAN melonjak 85 kali ganda dalam tempoh 30 tahun lalu.

Pada 2020, ASEAN menjadi rakan dagangan terbesar China buat kali pertama, dengan jumlah dagangan sebanyak 4.74 trilion yuan (RM3.1 trilion), walaupun berdepan pandemik COVID-19.

Kejayaan antara Inisiatif Jalan dan Jalur (BRI) serta strategi pembangunan negara ASEAN juga diperkukuh.

Ia dizahirkan melalui projek seperti Kereta Api China-Laos yang baharu siap, kereta api laju menghubungkan Jakarta-Bandung di Indonesia dan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, yang meningkatkan sambungan serta logistik rentas sempadan di rantau ini.

Duta Besar China ke ASEAN, Deng Xijun, berkata sejak 30 tahun lalu, China dan ASEAN komited untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Kedua-dua pihak bijak mengendalikan perbezaan dan pertikaian mereka, sekali gus berjaya menunjukkan contoh keharmonian dan pembangunan bersama.

Keadaan di Laut China Selatan secara keseluruhannya juga stabil atas usaha bersama China dan negara ASEAN meneruskan rundingan berteraskan Kod Tata Laku di Laut China Selatan. - AGENSI

Berita Harian X