Sabtu, 20 November 2021 | 4:33pm
AstraZeneca mendakwa ubat antibodi COVID-19 keluarannya mampu kurangkan risiko sakit teruk atau kematian sehingga 88 peratus. - Foto AFP
AstraZeneca mendakwa ubat antibodi COVID-19 keluarannya mampu kurangkan risiko sakit teruk atau kematian sehingga 88 peratus. - Foto AFP

Singapura, AstraZeneca bincang pembelian ubat rawat COVID-19

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang berbincang lanjut dengan gergasi farmaseutikal global, AstraZeneca, mengenai potensi membeli ubat antibodi bagi rawatan COVID-19.

Dalam maklum balas kepada akhbar The Straits Times Singapura, MOH menjelaskan ia sedang menjejak rapi kemajuan beberapa ubat antibodi terapeutik COVID-19 yang sedang dibangunkan secara global.

Bagaimanapun, MOH enggan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai perbincangan itu atas alasan ia sensitif dari segi komersial dan MOH terikat kepada perjanjian kerahsiaan.

Maklum balas itu diberi menyusuli hasil ujian koktel ubat AstraZeneca dikeluarkan syarikat itu kelmarin.

Ia menunjukkan ubat antibodi itu boleh mengurangkan risiko pesakit mendapat penyakit teruk atau mati hingga 88 peratus apabila diberi dalam tempoh tiga hari sebelum timbul tanda penyakit.

Koktel itu, AZD7442, terdiri daripada dua antibodi yang diperoleh daripada sel B pengeluar antibodi disalur pesakit COVID-19 yang semakin sembuh.

Kedua-dua antibodi itu diubah suai bagi menyediakan perlindungan panjang hingga setahun bagi mereka yang menerimanya sebagai rawatan dan sekitar enam bulan buat mereka yang menerimanya bagi pencegahan.

Ujian klinikal membabitkan pesakit COVID-19 ringan hingga sederhana, dengan sekitar 90 peratus daripada mereka mempunyai masalah kesihatan lain, seperti barah atau kencing manis, sekali gus berisiko tinggi mengalami penyakit teruk.

Dikenali sebagai Tackle, ujian itu membabitkan lebih 900 peserta merentasi 13 negara.

AstraZeneca mengemukakan permintaan pada 5 Oktober lalu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) bagi Pemberian Kuasa Penggunaan Kecemasan AZD7442 sebagai rawatan pencegahan.

AstraZeneca bersetuju membekalkan pentadbiran AS dengan 700,000 dos AZD7442 jika kebenaran diberi.

Dalam pada itu, syarikat farmaseutikal Regeneron Pharmaceuticals dan GlaxoSmithKline (GSK) turut membangunkan terapi antobodi monoklonal bagi merawat COVID-19 ringan hingga sederhana.

Antibodi monoklonal adalah ubat yang dihasilkan di makmal dan meniru peranan antibodi dalam melawan virus Sars-CoV-2.

Regeneron, pada 8 November lalu, berkata koktel antibodi boleh mengurangkan risiko mendapat COVID-19 sebanyak 81.6 peratus dalam tempoh dua hingga lapan bulan menyusuli pengambilan ubat itu, berdasarkan ujian peringkat akhir.

Ubat antibodi GSK sotrovimb yang dibangunkan bersama Vir pula menunjukkan pengurangan risiko dimasukkan ke hospital dan kematian sebanyak 79 peratus.

Kedua-dua ubat itu diluluskan secara sementara oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) di bawah Laluan Akses Khas Pandemik bagi merawat COVID-19 ringan hingga sederhana untuk pesakit berisiko mengalami jangkitan teruk.

Singapura menandatangani perjanjian bekalan bersama Merck bagi pil antiviral yang boleh mengurangkan separuh kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko menghidap penyakit teruk.

Merck, yang dikenali sebagai MSD di luar AS dan Kanada serta rakan kerjasama Ridgeback Biotherapeutics, akan mengirimkan data ubatnya kepada HSA untuk dinilai penggunaannya di sini. - AGENSI

Berita Harian X