Sabtu, 20 November 2021 | 4:01pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Permintaan tinggi bagi tiket penerbangan VTL Singapura-Malaysia

SINGAPURA: Tiket bagi beberapa penerbangan Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) antara Singapura dengan Kuala Lumpur habis dijual selepas tempahan dibuka semalam.

Singapore Airlines (SIA) dan syarikat penerbangan bajetnya, Scoot, memberitahu Berita Harian Singapura bahawa permintaan bagi tiket penerbangan melonjak sejak perjalanan bebas kuarantin antara dua negara itu diumumkan awal bulan ini.

Mengulas lanjut, jurucakap SIA berkata tempahan bagi tiket penerbangan VTL dibuka pada jam 10 pagi semalam dan tiket bagi beberapa penerbangan habis ditempah sekitar 11.20 pagi.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) mengumumkan kelmarin bahawa penerbangan VTL itu akan dikendalikan SIA dan lima syarikat penerbangan lain.

Ia akan disusuli menyusuli pembukaan permohonan bagi Pas Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTP) untuk pelawat dari Malaysia yang dibuka pada jam 10 pagi 22 November ini.

Penerbangan VTL Singapura-Malaysia mula beroperasi pada 29 November.

SIA tidak mendedahkan jumlah tiket yang terjual atau sebarang perangkaan kerana ia adalah maklumat komersial yang sensitif.

Dalam pada itu, jurucakap SIA berkata tempat duduk bagi penerbangan berkenaan juga diambil oleh pelanggan yang mempunyai tempahan secara langsung dengan SIA bagi penerbangan pada tarikh 29 November hingga 26 Mac tahun depan.

Ini mungkin menyebabkan tiket penerbangan VTL pada tarikh tertentu tidak dipaparkan dalam sistem tempahannya, kata jurucakap berkenaan.

Menurut SIA, ia akan menghantar e-mel kepada pelanggan dengan tempahan baru bagi penerbangan VTL.

Jurucakap Scoot berkata pertanyaan bagi penerbangan VTL dari pelanggan bertambah dan terdapat permintaan yang tinggi dari mereka yang ingin menaiki penerbangan bagi tujuan perniagaan mahupun bercuti.

Kelmarin, CAAS berkata orang ramai boleh memilih daripada enam khidmat penerbangan sebaik skim VTL Malaysia-Singapura mula beroperasi pada 29 November.

Penerbangan terbabit akan dikendalikan AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot dan SIA.

Sebanyak 10 khidmat penerbangan VTL ulang-alik antara Singapura dan KL akan beroperasi setiap minggu mulai 29 November dan pesawat yang terbabit termasuk SQ108, SQ107, SQ122 serta SQ121.

Scoot pula akan menawarkan empat khidmat ulang-alik antara dua negara itu setiap minggu bagi pesawat TR472 dan T473.

Jurucakap Scoot berkata syarikat penerbangan itu turut merancang untuk meneruskan penerbangan ke Langkawi awal Disember.

Ia adalah sebahagian daripada aturan gelembung perjalanan udara pulau itu yang menawarkan perjalanan bebas kuarantin bagi pelawat asing.

Khidmat penerbangan bajet Jetstar Asia berkata semalam tujuh daripada 15 khidmat penerbangan ulang-alik antara Singapura dan Kuala Lumpur akan ditetapkan sebagai penerbangan VTL. - AGENSI

Berita Harian X