Sabtu, 23 Oktober 2021 | 9:26pm
Penumpang penerbangan Singapore Airlines memasuki Laluan Pengembara Divaksinasi (VTL) di Lapangan Terbang Changi, Singapura. - Foto AFP
Penumpang penerbangan Singapore Airlines memasuki Laluan Pengembara Divaksinasi (VTL) di Lapangan Terbang Changi, Singapura. - Foto AFP

Singapura senaraikan Malaysia bawah kategori III

SINGAPURA: Malaysia disenaraikan di bawah Kategori III berbanding Kategori IV sebelum ini, selepas republik itu mengadakan semakan berkala mengenai pandemik COVID-19.

Ini bermakna semua pengembara dari Malaysia perlu menjalani kuarantin 10 hari di rumah atau kediaman yang diisytiharkan dalam Notis Tinggal di Rumah (SHN) di Singapura bermula 27 Oktober 2021.

Peraturan ke atas pengunjung dari Malaysia itu serta ahli keluarga mereka dibuat secara menyeluruh tidak mengira status vaksin dan sejarah perjalanan mereka, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 hari ini.

Selain Malaysia, negara lain yang bakal dimasukkan dalam kategori III adalah Kemboja, Mesir, Hungary, Indonesia, Israel, Mongolia, Qatar, Rwanda, Samoa, Seychelles, Afrika Selatan, Tonga, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam.

Singapura melaksanakan penetapan empat kategori negara atau rantau pada Ogos tahun ini dengan kadar vaksinasi penduduk sesebuah negara atau rantau menjadi asas untuk menentukan langkah kawalan di sempadan.

Keadaan COVID-19 di Malaysia semakin baik dengan ketara dengan perangkaan semalam 94.4 peratus penduduk dewasa di negara itu sudah pun lengkap menerima vaksin.

Dalam satu kenyataan media, MTF menyatakan, berdasarkan syarat dalam kategori berkenaan, mereka tidak akan ditempatkan di kemudahan khas SHN.

"Penduduk yang pulang seharusnya memastikan sudah mempunyai kediaman alternatif terlebih dulu andai rumah mereka tidak sesuai dijadikan SHN," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MTF menegaskan, jika mereka yang memasuki negara itu tinggal di kediaman dihuni individu belum divaksin serta berisiko, mereka amat digalakkan menjalani tempoh kuarantin dalam bilik serta mengurangkan kontak dengan penghuni rumah yang lain.

Mengenai prosedur saringan, mereka yang tertakluk dalam kuarantin kategori III tidak lagi perlu menjalani ujian saringan Ujian Antigen Pantas (ART) pada hari ketiga dan ketujuh selepas tiba di negara itu, termasuk mereka yang tiba bermula 22 Oktober.

Semua yang tiba menerusi senarai Kategori III juga tidak lagi perlu menjalani saringan Reaksi Rantaian Polymerase (PCR) sewaktu ketibaan dan hanya perlu menjalani ujian PCR pada tarikh akhir tempoh SHN.

Bagaimanapun, bagi Pemegang Pas Jangka Panjang (LTPH) yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), mereka mungkin perlu mematuhi beberapa peraturan dan syarat tambahan.

"Kami akan terus mengubah suai langkah kawalan sempadan sejajar dengan perkembangan semasa dunia supaya dapat kembali menyambung hubungan antarabangsa dan memulihkan kedudukan ekonomi republik ini pada peringkat global," kata pasukan berkenaan.

Bagi mereka yang tiba di republik itu tetapi bukan warga Singapura atau pemegang pas pemastautin, mereka boleh berada di Singapura untuk tempoh singkat andai mereka tiba dari negara yang disenaraikan dalam Kategori I.

Bagaimanapun, mereka sudah pun disenarai dalam peraturan perjanjian Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) atau Laluan Khas Hijau dikecualikan. -

BERNAMA

Berita Harian X