Isnin, 18 Oktober 2021 | 1:47pm
Min Aung Hlaing. - Foto AFP
Min Aung Hlaing. - Foto AFP

Tindakan ASEAN ketepikan pemimpin junta disambut baik

YANGON: Kerajaan bayangan Myanmar mengalu-alukan tindakan mengecualikan pemimpin junta, Min Aung Hlaing daripada menghadiri sidang kemuncak serantau dan berharap mereka dijemput sebagai wakil sah.

Bagaimanapun pembangkang berkata pihaknya akan menerima wakil alternatif Myanmar yang benar-benar neutral seperti diputuskan pada hujung minggu lalu oleh ASEAN.

ASEAN bakal menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menghadiri sidang pada 26 hingga 28 Oktober ini. Ia dianggap sesuatu perkara yang tidak pernah terjadi kepada pemimpin tentera yang bertanggungjawab dalam rampasan kuasa 1 Februari lalu daripada kerajaan dipilih diterajui Aung San Suu Kyi.

Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang diharamkan oleh tentera berkata pemimpin bukan politik yang menghadiri sidang itu tidak sepatutnya mewakili junta.

"Tindakan ASEAN mengetepikan Ming Aung Hlaing adalah langkah penting tetapi kami mohon mereka mengiktiraf kami sebagai wakil sah," kata jurucakapnya, Dr Sasa.

Keputusan itu adalah langkah berani untuk blok yang didorong konsensus dan secara tradisinya mendukung dasar libat urus dan tiada campur tangan.

Brunei yang juga Pengerusi ASEAN dalam kenyataan memaklumkan kurangnya kemajuan dicapai dalam menjayakan hala tuju dipersetujui junta kepada ASEAN pada April lalu, dalam usaha memulihkan keamanan di Myanmar.

Jurucakap kerajaan tentera Myanmar mendakwa wujud campur tangan negara luar dalam keputusan yang dikatakan bertentangan dengan matlamat, piagam dan prinsip ASEAN.

Myanmar berada dalam kemelut sejak rampasan kuasa yang sekali gus mengakhiri dekad demokrasi dan reformasi ekonomi.

Ratusan penentang ditahan termasuk San Suu Kyi. Tentera menggelar penentang sebagai pengganas.

Pasukan keselamatan pula dilaporkan membunuh lebih 1,100 orang, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) iaitu sebuah kumpulan aktivis yang memantau penahanan dan pembunuhan. - AGENSI

Berita Harian X